Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kerjasama penting bagi pastikan pembangunan mampan, kata Masagos

Kemajuan Singapura dalam bidang-bidang pembangunan mampan adalah hasil "kerjasama kukuh" antara Pemerintah, industri-industri dan rakyat negara ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Kerjasama penting bagi pastikan pembangunan mampan, kata Masagos

Encik Masagos menyampaikan kenyataan negara di HLPF. (Gambar: Masagos Zulkifli/ Facebook)

Diterbitkan : 19 Jul 2018 06:10PM Dikemas Kini : 19 Jul 2018 06:16PM

SINGAPURA: Kemajuan Singapura dalam bidang-bidang pembangunan mampan adalah hasil "kerjasama kukuh" antara Pemerintah, industri-industri dan rakyat negara ini.

Demikian kata Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli semasa menyampaikan kenyataan Singapura di Forum Politik Peringkat Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pembangunan Mampan (HLPF) di New York hari ini (19 Jul).

"Singapura giat menjalankan usaha-usaha pembangunan mampan sejak dahulu lagi," katanya.

"Sejak merdeka, kami cuba mencapai keseimbangan dalam pembangunan ekonomi dan alam sekitar. Kami percaya dua aspek ini boleh saling melengkapi."

Menerusi catatan Facebooknya, Encik Masagos berkata beliau turut berkongsi tentang kemajuan Singapura yang "terus mengusahakan" pembangunan mampan.

Kata Encik Masagos: "Kami berdepan dengan pelbagai cabaran dalam usaha kami dan kejayaan ini adalah hasil kerjasama antara Pemerintah, industri-industri dengan rakyat, serta kepercayaan negara kami dalam membina sebuah bandar yang bersih dan hijau sebagai kediaman kami.

"Kami juga akan terus bekerjasama dalam memperbaiki kebajikan rakyat."

HLPF adalah forum global untuk menyediakan kepimpinan politik, panduan dan saranan bagi pelaksanaan Agenda Pembangunan Mampan 2030 - satu komitmen untuk membasmi kemiskinan dan mencapai pembangunan mampan sejagat menjelang 2030 di serata dunia - dan 17 matlamat pembangunan mampan.

Menyampaikan kenyataan negara, Encik Masagos menarik perhatian kepada pentingnya "kerjasama kolaboratif berbilang pihak berkepentingan" sambil mengatakan bahawa pada separuh pertama 2018 - Tahun Tindakan Iklim Singapura - hampir 250,000 rakyat Singapura, syarikat-syarikat dan pertubuhan-pertubuhan masyarakat sudah berikrar untuk menjimatkan tenaga dan air, giat mengitar semula di samping mengambil tindakan iklim.

Sebagai Pengerusi ASEAN, Singapura juga menganjurkan Mesyuarat Khas Peringkat Menteri ASEAN mengenai Tindakan Iklim pada minggu lalu, kata Encik Masagos. Bersama dengan rakan-rakan utama, ia menegaskan lagi komitmennya terhadap Perjanjian Paris dan usaha serantau untuk mengambil tindakan iklim.

Encik Masagos turut membentangkan kemajuan Singapura dalam menetapkan matlamat-matlamat pembangunan mampan.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan