Skip to main content

Singapura

Kerjasama NAFA dengan syarikat penerbitan beri peluang pelajar jadi pelukis buku, raih pengalaman industri

Anggaran Waktu Membaca:
Kerjasama NAFA dengan syarikat penerbitan beri peluang pelajar jadi pelukis buku, raih pengalaman industri

Penulis 'Nasi Lemak Emak', Elda Zarifah (berpakaian kuning) bersama para pelajar dari NAFA. (Gambar: Pustaka Nasional)

SINGAPURA: Kesukaran syarikat penerbitan mencari pelukis bagi buku kanak-kanak kini dapat diatasi dengan satu kerjasama dengan institusi pengajian tempatan.

Buku kanak-kanak, 'Nasi Lemak Emak' yang dilancarkan baru-baru ini misalnya merupakan hasil kerjasama antara Pustaka Nasional dengan Akademi Seni Halus Nanyang (NAFA).

Buku yang ditulis oleh seorang guru sekolah rendah, Elda Zarifah Zamri mendapat sentuhan karya lukisan oleh pelajar dari NAFA, Elly Sabrina Arun dan Leow Jiayee.

Related article image
Penulis 'Nasi Lemak Emak', Elda Zarifah. (Gambar: Pustaka Nasional)

'Nasi Lemak Emak' diterbitkan oleh Pustaka Nasional dan dilancarkan semasa acara Pesta Buku Kanak-Kanak Singapura (SCBF) pada 20 Jun lalu, anjuran Persatuan Penerbit Buku Singapura (SBPA) dan NAFA, Universiti Seni Singapura (UAS).

Pengarah Pustaka Nasional, Syed Ali Semait berkata: "Karya ini merupakan sebuah tugasan kerja Cikgu Elda Zarifah semasa beliau mengambil kursus di Institut Pendidikan Nasional (NIE) dan dipilih oleh Pustaka Nasional pada tahun 2022 sebagai antara karya yang terbaik untuk diterbitkan."

"Penerbitan ini mengambil masa yang agak lama atas beberapa faktor seperti pendanaan, masa dan mencari ilustrator. Alhamdulillah, apabila kami usulkan kepada pihak NAFA untuk mengundang pelajarnya menyiapkan ilustrasi bagi manuskrip sebagai satu pertandingan kuliah, pihak NAFA bersetuju pada tahun 2024. Maka lahirlah buku yang sudah dikemaskini teks dan lukisannya untuk tatapan masyarakat Singapura pada hari ini."

Related article image

Encik Syed Ali turut mengalu-alukan gabungan sebegini untuk menghasilkan lebih banyak karya tempatan.

"Kolaborasi antara pihak institusi dan syarikat swasta boleh dikembangkan untuk manfaat kanak-kanak kita. Karya yang baharu oleh pelajar NIE dan sekarang lukisan oleh pelajar NAFA digabungkan untuk menjadi sebuah buku kanak-kanak bergambar," ucapnya.

Beliau juga melahirkan penghargaan buat NAFA dan SBPA atas kerjasama itu.

ZAMAN KAMPUNG SG JADI ILHAM

Related article image
Pelajar NAFA, Elly Sabrina Arun (sebelah kanan) dan Leow Jiayee. (Gambar: Pustaka Nasional)

Dalam menghasilkan ilustrasi bagi buku 'Nasi Lemak Emak' itu, salah seorang ilustratornya, Cik Elly Sabrina berkongsi bahawa latar cerita kampung dari zaman 70an dipilih bagi menggalak kanak-kanak menyelami semangat kekampungan Singapura dan sejarahnya yang kukuh pada satu ketika dahulu.

"Anda mungkin tertanya-tanya, mengapa berlatarkan zaman 70an? Kenapa tidak zaman tahun 2000 di mana Singapura sudah lebih maju dan kanak-kanak boleh lebih mengaitkan diri dengannya? Mengapa kami memilih latar cerita kampung ialah untuk menggalak dan membolehkan kanak-kanak mendalami semangat 'kampung' Singapura dan sejarahnya, yang amat kukuh pada ketika itu, sebagai satu masyarakat yang akrab dan membolehkan anak kecil kita sekarang mengalami dan rasa lebih rapat lagi dengan Singapura yang lama," menurut Cik Elly Sabrina.

"Kami berharap ada lebih banyak lagi peluang untuk ibu bapa membina ikatan dengan anak-anak mereka untuk menyediakan jawapan dan mendidik mereka tentang zaman kanak-kanak mereka," tambahnya.

Related article image
Buku 'Nasi Lemak Emak' oleh Elda Zarifah, dengan ilustrasi oleh Elly Sabrina Arun dan Leow Jiayee. (Gambar: Pustaka Nasional)

Bagi muka depan buku itu pula, Cik Elly berkata ia bertujuan untuk membawa pembaca menyelami suasana yang menyenangkan dan penuh nostalgia menerusi latar perkampungan pesisir dengan menerapkan elemen-elemen pantai, daun kelapa dan rumah kampung kayu tradisional.

Di tengah-tengah pula, satu hidangan nasi lemak kelihatan di atas meja, satu hidangan yang bukan sahaja ikonik bahkan melambangkan kasih sayang, tradisi dan kebersamaan, yang dikelilingi oleh watak-watak dalam buku itu.

PELAJAR DAPAT HUBUNG LANGSUNG DENGAN INDUSTRI PENERBITAN, FAHAMI KERJA-KERJA ILUSTRASI

'Nasi Lemak Emak' merupakan antara dua buku kanak-kanak bergambar yang dilancarkan di acara SCBF tahun ini, yang dilukis oleh penerima Hadiah Buku Ilustrator Pelajar pada 2024.

Projek itu menyediakan peluang kepada para ilustrator pelajar untuk melihat kerja-kerja mereka diterbitkan.

"Acara seperti SCBF menawarkan para pelajar kita peluang untuk berhubung langsung dengan industri penerbitan dan lebih memahami bagaimana kerja-kerja ilustrasi boleh menghidupkan penceritaan," ujar Dekan Fakulti Seni & Reka Bentuk, NAFA, Cik Sabrina Long.

"Ia amat menggalakkan untuk melihat karya-karya mereka dipersembahkan bersama ahli profesional sebagai sebahagian daripada pengalaman pembelajaran sedang mereka terus mentakrif semula naratif mereka dalam penceritaan," tambahnya.

Edisi kali ini antara lain menonjolkan suara-suara tempatan dan warisan, menggalak buku-buku kanak-kanak oleh penulis dan ilustrator Singapura yang mencerminkan kekayaan kepelbagaian budaya negara.

Related article image
Karya Nurul Amirah berjudul 'Finding Missing Mali' akan diterbitkan Pustaka Nasional. (Gambar: Pustaka Nasional)

Seterusnya, NAFA akan bekerjasama dengan syarikat-syarikat penerbitan bagi lagi tiga buku.

Ini termasuk karya oleh Nurul Amirah berjudul 'Finding Missing Mali' yang akan diterbitkan Pustaka Nasional.

Illustrasi buku tersebut akan dilukiskan oleh pelajar NAFA, Cathleen Kandou dan Cindy Lim.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita