Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kerjasama MSF- agensi perkhidmatan sosial untuk tangani lebih baik kes keganasan keluarga

Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) sedang bekerjasama dengan agensi perkhidmatan sosial untuk membangunkan bersama rangka kerja penilaian dan campur tangan bagi menangani kes keganasan keluarga, kata Menteri Negara Sun Xueling di Parlimen pada Rabu (12 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 12 Jan 2022 03:54PM Dikemas Kini : 12 Jan 2022 09:00PM

SINGAPURA: Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) sedang bekerjasama dengan agensi perkhidmatan sosial untuk membangunkan bersama rangka kerja penilaian dan campur tangan bagi menangani kes keganasan keluarga, kata Menteri Negara Sun Xueling di Parlimen pada Rabu (12 Jan).

"Rangka kerja ini akan membolehkan karyawan barisan hadapan mengenal pasti kes keganasan keluarga dengan lebih baik, membuat rujukan tepat pada masanya dan memudahkan perbincangan kes melibatkan pelbagai agensi, jika berkaitan, dan menyokong agensi dalam menguruskan risiko dan menangani keperluan mangsa dan pelaku," kata Cik Sun.

Beliau menjawab soalan tiga Anggota Parlimen yang bertanya tentang sokongan yang diberikan kepada mangsa dan sama ada pihak berkuasa boleh mengambil pendekatan yang lebih proaktif ke arah mencegah keganasan keluarga.

Pasukan bertindak pemerintah mengenai keganasan keluarga menyatakan tahun lalu bahawa jumlah pertanyaan dan kes baru keganasan keluarga yang diterima pusat perkhidmatan sosial terus meningkat.

Pusat pakar keluarga dan Pusat Pakar Perlindungan Individu dan Keluarga Perkhidmatan Bersepadu PAVE mengendalikan sebanyak 1,103 kes baru pada tahun kewangan 2020, naik daripada 966 pada tahun kewangan 2019 dan 891 pada 2018, menurut laporan pasukan tersebut.

SOKONGAN KEPADA MANGSA

Cik Sun juga berkata di Parlimen bahawa MSF bekerjasama rapat dengan pusat pakar keganasan keluarga berasaskan masyarakat (FVSC) dan PAVE untuk menyediakan sokongan kepada mereka yang mengalami sebarang bentuk keganasan tanpa mengira jantina.

Ini termasuk perancangan keselamatan untuk mengurangkan risiko keganasan berulang, memudahkan penginapan selamat alternatif untuk mangsa dan menyokong mereka melalui proses permohonan perintah perlindungan peribadi.

Selain menangani risiko keselamatan dengan segera, pusat itu juga menyediakan kaunseling kepada mangsa seperti mereka yang mengalami trauma akibat keganasan.

"Terdapat juga pelbagai kumpulan sokongan dan terapeutik yang dikendalikan masyarakat, termasuk FVPC dan PAVE untuk mangsa kes keganasan keluarga atau keganasan seksual yang berkongsi pengalaman mereka dalam persekitaran yang selamat dan menyokong," kata Cik Sun.

Mangsa yang mempunyai keperluan kesihatan mental atau trauma juga boleh mendapatkan sokongan daripada karyawan di hospital disusun semula, termasuk mereka yang mempunyai klinik trauma khusus, tambahnya.

MSF akan terus mengukuhkan sokongan bagi keluarga yang mengalami trauma akibat keganasan keluarga, seperti yang disyorkan oleh pasukan bertindak, kata Cik Sun.

"Ini termasuk menangani trauma dan kebimbangan tentang kesihatan mental, menyediakan penilaian dan campur tangan untuk mengenal pasti dan menangani faktor risiko serta keperluan berkaitan dengan tingkah laku pelaku yang ganas. Ini selain bekerjasama dengan pekerja sosial untuk melibatkan perancangan keselamatan bagi mangsa keganasan.

Sekarang ini, terdapat tiga pusat pakar keganasan keluarga. Dua daripadanya, Care Corner Project START dan PAVE, memberikan sokongan sosial dan emosi yang menyeluruh termasuk kaunseling dan campur tangan lain untuk mangsa yang mengalami semua bentuk keganasan dalam dan luar keluarga, termasuk keganasan seksual, kata Cik Sun.

Beliau menambah MSF sedang bekerjasama dengan pusat ketiga, TRANS SAFE, untuk meningkatkan keupayaan dan kapasiti dalam menyediakan "sokongan menyeluruh yang serupa" kepada mangsa gangguan seksual dan keganasan pada separuh kedua tahun ini.

Menjawab soalan tambahan daripada AP Carrie Tan (PAP-Nee Soon) mengenai tenaga kerja bagi pusat sedemikian, Cik Sun berkata MSF bersedia untuk meningkatkan kapasiti kemudahan ini secara keseluruhannya, agar dapat membantu mangsa serta pelaku keganasan keluarga dengan berkesan.

Sumber : CNA/SU/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan