Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kerjasama MENDAKI-NTUC dibentuk demi bolehkan pekerja Melayu dapat kerja lebih tetap

Bercakap dalam satu sidang media secara bersama, para penjawat politik Melayu berkongsi bahawa antaranya, satu kerjasama antara MENDAKI dengan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) akan dijalankan demi memudahkan para anggota masyarakat Melayu mendapat pekerjaan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Para pemimpin Melayu/Islam mendedahkan beberapa usaha baru demi mengukuhkan lagi pembangunan masyarakat Melayu/Islam.

Bercakap dalam satu sidang media secara bersama, para penjawat politik Melayu berkongsi bahawa antaranya, satu kerjasama antara MENDAKI dengan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) akan dijalankan demi memudahkan para anggota masyarakat Melayu mendapat pekerjaan.

Lebih banyak sokongan pendidikan dan pekerjaan akan dilakukan.

KERJASAMA MENDAKI-NTUC

Untuk Bidang Tumpuan Keempat (FA4) M³, Datuk Bandar Daerah Tenggara Fahmi Aliman, yang juga seorang Pengarah di NTUC, mendedahkan tentang kerjasama antara MENDAKI dengan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) tahun depan.

(Gambar: Fahmi Aliman/Facebook)

Ia bertujuan memanfaatkan keupayaan serta rangkaian NTUC demi "membantu para pekerja masyarakat Melayu/Islam mendapatkan pekerjaan lebih tetap", lebih-lebih lagi dalam sektor berkembang.

Encik Fahmi berkata: "Saya rasa gabungan ini amat penting kerana ia gabungan strategik di mana MENDAKI dan NTUC adakan banyak sokongan dan kursus untuk membantu para pekerja Melayu/Islam mencari pekerjaan dan mencari pemadanan pekerjaan untuk mereka.

"Di NTUC, kita ada keupayaan misalnya di dalam NTUC LearningHub, e2i. Kita boleh membantu dan menggerakkan mereka yang ingin mencari pekerjaan untuk melalui latihan dan terus mendapat pekerjaan pada akhirnya."

Menurut para pemimpin Melayu, kerjasama itu juga penting kerana ada trend yang menunjukkan sebilangan pekerja Melayu/Islam tidak mendapat pekerjaan selepas latihan dan "masih banyak jurang yang belum dapat disambungkan".

(Gambar: MCI)

Misalnya, tahun ini, daripada lebih 700 pekerja yang menerima bimbingan dan kaunseling pekerjaan ditawarkan MENDAKI SENSE, hanya 40% atau sekitar 300 orang sahaja mendapat pekerjaan.

Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia merangkap Pertahanan Zaqy Mohamad berkata bahawa situasi tersebut mungkin disebabkan kemahiran masyarakat Melayu/Islam yang tidak sepadan dengan apa yang diperlukan oleh ekonomi pada masa sekarang.

"Amat penting supaya kita menyediakan masyarakat melalui latihan, menimba kemahiran baru ataupun kita mendorong mereka untuk memasuki sektor berkembang supaya mereka mempunyai kerjaya yang lebih efektif ataupun lebih produktif," jelas Encik Zaqy.

Dalam pada itu Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli berkata: "Rombakan ekonomi yang akan berlaku setelah COVID-19 adalah besar dan kita perlu mempersiapkan masyarakat kita untuk mendapatkan dan memenuhi peluang-peluang yang tersedia oleh Pemerintah kita."

GOLONGAN WANITA AKAN TERUS DIPERKASA

Salah satu golongan yang akan menerima sokongan khusus menerusi kerjasama MENDAKI dan NTUC adalah golongan wanita.

Statistik menunjukkan hanya 12 daripada 90 wanita yang mengambil bahagian dalam program 'Kembali Bekerja' (BWW) berjaya mendapat pekerjaan tahun ini.

(Gambar hiasan: Edric Sng)

Memberi penerangan bagi kadar yang rendah itu, Encik Fahmi berkata bahawa antara halangan yang mungkin dihadapi para peserta program tersebut adalah perlunya untuk ada waktu semasa bekerja untuk keperluan penjagaan anak-anak serta waktu bekerja yang fleksibel.

Lantaran itu, dari perspektif NTUC, kata Encik Fahmi, ia menginginkan perbincangan bersama para majikan agar mereka juga faham bahawa golongan wanita yang sudah lama tidak bekerja perlu kembali bekerja demi mewujudkan tenaga kerja yang kukuh.

Beliau menganggap kerjasama antara MENDAKI, dengan NTUC serta Jabatan Wanita dan Keluarga (WAF) akan dapat menyediakan sokongan agar dapat terus memberi mereka peluang dan keupayaan latihan untuk kembali bekerja.

"Satu-satunya cara untuk kita di NTUC dan WAF untuk mencari pekerjaan dan memberi keyakinan kepada para majikan untuk mengambil para pekerja yang memerlukan waktu fleksibel. Jadi kalau majikan itu setuju, pekerjaan itu boleh dilakukan tetapi tidak sepenuhnya kerana mereka perlu pulang atas sebab keperluan penjagaan anak-anak," Encik Fahmi.

Setiausaha Parlimen Kesihatan merangkap Perhubungan dan Penerangan Rahayu Mahzam pula menegaskan bahawa menyelaraskan pekerjaan bagi golongan wanita bermula daripada golongan itu sendiri.

(Gambar: MCI)

"Sebenarnya terdapat banyak asas pemikiran dan kecenderungan, yang juga perlu berubah kerana kita akan menyediakan semua kemudahan ini tetapi mereka yang perlu mahu pergi," ujar Cik Rahayu.

Dalam pada itu, Encik Fahmi juga mendedahkan bahawa MENDAKI akan terus bekerjasama dengan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Singapura (DPPMS) untuk menyediakan peluang bagi golongan wanita menimba kemahiran dan bekerja di rumah sekali gus menambah pendapatan untuk keluarga mereka.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan