Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kerjasama lebih mendalam penting bagi S'pura, Vietnam untuk pulih dari pandemik COVID-19

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Singapura dan Vietnam bersetuju tentang pentingnya kerjasama yang lebih mendalam untuk membantu kedua-dua pihak pulih dan bangkit lebih teguh daripada pandemik COVID-19, menurut kedua negara itu dalam satu kenyataan bersama pada Jumaat (25 Feb).

Kenyataan itu dikeluarkan semasa lawatan tiga hari Presiden Vietnam, Nguyen Xuan Phuc ke Singapura.

BACA: S'pura, Vietnam meterai 5 perjanjian, MOU meliputi sektor sosial, pertahanan & perdagangan

Semasa lawatannya, Encik Phuc bertemu dengan Presiden Singapura, Puan Halimah Yacob dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.

Dalam kenyataan bersama Singapura dan Vietnam, Puan Halimah dan Encik Phuc mengalu-alukan "kemajuan baik" dalam memperkukuh kerjasama strategik antara kedua-dua negara.

Mereka juga membincangkan kesan pandemik COVID-19 terhadap kedua-dua negara dan mengalu-alukan penyediaan bersama bekalan perubatan antara kedua-dua pihak sejak pandemik itu bermula.

Sebagai contoh, Singapura sudah mendermakan ujian ART, swab nasopharyngeal, pelitup pembedahan dan juga alat bantuan pernafasan ke Vietnam. Vietnam juga sudah menyumbangkan pelitup, pakaian pelindung dan alat bantuan pernafasan kepada Singapura.

“Kedua-dua pihak menegaskan pentingnya kerjasama yang lebih mendalam untuk membolehkan kedua-dua negara pulih bersama dan bangkit lebih teguh susuli pandemik dan menuju ke arah pemulihan yang bertenaga, inklusif dan mampan,” tambah kenyataan itu.

PEMBANGUNAN SERANTAU DAN ANTARABANGSA

Dalam membincangkan isu serantau, kedua-dua pemimpin juga "menekankan pentingnya untuk mengukuhkan perpaduan ASEAN", dan "menegakkan peraturan berbilang pihak" untuk keamanan dan kestabilan di rantau ini.

Dua pemimpin itu juga menzahirkan "kebimbangan yang mendalam" mengenai keadaan di Myanmar, termasuk kurangnya kemajuan dalam pelaksanaan Konsensus Lima Perkara ASEAN.

Kedua-dua pihak menyeru Myanmar supaya melaksanakan sepenuhnya perkara sedemikian, termasuk dengan memudahkan lawatan Duta Khas ASEAN ke Myanmar untuk bertemu dengan semua pihak berkenaan.

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan