Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kerjasama ekonomi digital, hijau antara perjanjian dimeterai sewaktu lawatan rasmi PM Anwar Ibrahim ke SG

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 30 Jan 2023 03:15PM Dikemas Kini : 30 Jan 2023 08:39PM

SINGAPURA: Singapura dan Malaysia memeterai tiga perjanjian pada Isnin (30 Jan), meliputi bidang-bidang termasuk kerjasama ekonomi digital dan ekonomi hijau. 

Kedua-dua negara juga memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) yang membolehkannya bekerjasama dalam isu-isu seperti perlindungan data peribadi serta keselamatan siber. 

Perjanjian dimeterai antara Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) dengan Kementerian Komunikasi dan Digital Malaysia. 

Rangka kerja bagi kerjasama dalam ekonomi digital merangkumi bidang-bidang seperti pemudahan perdagangan, aliran data rentas sempadan dan pembayaran elektronik. 

Rangka kerja bagi kerjasama ekonomi hijau pula akan meneliti penetapan piawaian teknologi berkaitan dengan tenaga baru dan boleh diperbaharui serta meneroka kerjasama berhubung piawaian kenderaan elektrik dan kenderaan berautonomi, antara lain. 

Perjanjian itu ditandatangani antara Kementerian Perdagangan dan Perusahaan Singapura (MTI) dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI),

Pemeteraian dua rangka kerja kerjasama serta MOU itu berlangsung ketika Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim dalam rangka lawatan rasmi sehari ke Singapura, iaitu lawatan sulungnya ke negara ini sejak menyandang tanggungjawab tersebut. 

Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan Encik Anwar menyaksikan pemeteraian perjanjian tersebut di Istana. 

EKONOMI HIJAU

Rundingan mengenai perjanjian rangka kerja ekonomi hijau dan ekonomi digital dimuktamadkan pada Ogos tahun lalu sewaktu pertemuan antara Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yong dengan rakan sejawatnya dari Malaysia ketika itu, Azmin Ali, di Singapura. 

Perjanjian rangka kerja ekonomi hijau merupakan perjanjian ekonomi hijau pertama Malaysia dengan negara lain, menurut MTI dalam lembaran fakta yang dikeluarkan pada Isnin. 

Ia akan membolehkan perkongsian pengetahuan dan menjalin rangkaian untuk perniagaan dari kedua-dua negara bagi mempelajari tentang amalan perniagaan mampan dan meneroka peluang untuk bekerjasama. 

Kedua-dua negara akan bekerjasama bagi menetapkan piawaian dan pemasangan tempat-tempat mengecas bagi kenderaan elektrik. 

Singapura dan Malaysia juga akan bertukar-tukar maklumat mengenai huraian pelepasan karbon yang rendah, termasuk berhubung isu-isu teknikal dan kawal selia, dan meneroka projek demonstrasi dan kajian bersama, khususnya dalam hidrogen dan penggunaan serta penyimpanan karbon (CCUS).

Singapura komited untuk mencapai sifar bersih pelepasan karbon menjelang 2050 dan kini sedang mengkaji laluan CCUS yang berpotensi untuk mengurangkan pelepasan karbonnya. 

Kerajaan Malaysia sebelum ini menyatakan negara itu menyasarkan untuk menjadi karbon neutral menjelang 2050 dan berikrar untuk membaik pulih sektor tenaga, pengangkutan serta penggunaan tanahnya. 

CCUS berupaya mengurangkan pelepasan karbon dengan mengumpulkan dan menukar karbon dioksida dalam loji jana kuasa dan pelepasan industri loji itu kepada produk berguna, seperti bahan binaan dan pasir untuk penambakan. 

Singapura dan Malaysia juga akan saling bertukar-tukar maklumat mengenai perkembangan piawaian teknologi berkaitan tenaga baru dan tenaga boleh diperbaharui. 

Ini boleh menyokong usaha mengurangkan pelepasan karbon di rantau ini, termasuk kemungkinan menggubal dasar dan menetapkan piawaian bersama bagi teknologi tenaga baru dan tenaga boleh diperbaharui, menurut MTI. 

EKONOMI DIGITAL

Perjanjian ekonomi digital akan membantu membuka peluang pertumbuhan dan memberi manfaat kepada perniagaan, pekerja serta penduduk kedua-dua negara, menurut MTI. 

Ia menambah bahawa perjanjian tersebut akan melangkaui apa yang terkandung di dalam Perjanjian Menyeluruh dan Progresif bagi Kerjasama Rentas Pasifik (CPTPP) serta Kerjasama Ekonomi Menyeluruh Serantau (RCEP), yang ditandatangani kedua-dua negara. 

MTI pada Isnin menyatakan perjanjian ekonomi digital yang baru akan berfungsi sebagai "pelopor" untuk kerjasama ekonomi digital dalam kalangan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).

Perjanjian itu akan menyokong pembangunan sistem e-bayaran rentas sempadan yang cekap, selamat dan terjamin. Ia berusaha ke arah membangunkan sebuah rangkaian sistem pembayaran ASEAN yang tersambung dalam masa nyata. 

Sistem-sistem pembayaran PayNow Singapura dan DuitNow Malaysia kini terhubung, sekali gus membolehkan pelanggan institusi kewangan yang mengambil bahagian untuk melakukan pindahan wang antara kedua-dua negara pada masa nyata, menggunakan nombor telefon bimbit. 

Singapura dan Malaysia juga akan bekerjasama dalam program-program yang saling mendatangkan manfaat yang memudahkan pelaburan dalam pendigitalan. Ini termasuk perkongsian bersama pihak-pihak berkepentingan sektor privet. 

PERLINDUNGAN DATA PERIBADI

MOU bagi perlindungan data peribdai, keselamatan siber dan ekonomi digital akan membolehkan perkongsian pengetahuan dalam bidang-bidang seperti dasar perlindungan data dan aliran data rentas sempata, menurut MCI pada Isnin. 

Ia juga akan menangani "ancaman keselamatan siber yang biasa didepani dan teknologi baru muncul" seperti kecerdasan buatan (AI) serta teknologi lejar pengagihan, tambah MCI.

Semasa lawatan rasmi beliau ke Singapura hari ini, Encik Anwar diiringi oleh isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail, serta beberapa menteri persekutuan serta Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi.

Sejenis bunga orkid hibrid diberi nama sempena Encik Anwar dan Dr Wan Azizah bagi memperingati lawatan mereka ke Singapura. 

Encik Anwar juga melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Halimah Yacob di Istana dan mengadakan pertemuan dengan Encik Lee. Beliau akan turut bertemu dengan warga Malaysia yang menetap di negara ini. 

Sumber : CNA/NY/FZ/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan