Skip to main content

Singapura

Kerjasama badan & peniaga Melayu/Islam sumbang kepada Pertahanan Mutlak

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Buat julung-julung kalinya, Konvensyen Pertahanan Mutlak diadakan dan menghimpunkan rakan kerja dan para pengamal tempatan serta dari luar negara.

Ia diadakan sempena ulang tahun ke-40 Pertahanan Mutlak di negara ini.

Konvensyen yang berlangsung di Shaw Foundation Alumni House pada Khamis (25 Apr) itu dihadiri 250 rakan kerja dari pelbagai sektor seperti agensi-agensi awam dan pertubuhan bukan pemerintah.

Dengan tema "Membangunkan Daya Bingkas dan Kesediaan Masyarakat hadapi Krisis dan Gangguan", konvensyen tersebut menampilkan para penceramah dari dalam dan luar negara termasuk Sweden dan New Zealand.

Tetamu terhormat, Menteri Negara Kanan bagi Pertahanan, Zaqy Mohamad menekankan bahawa Pertahanan Mutlak bukan sahaja tentang tindak balas kepada krisis tapi juga daya bingkas dan persiapan untuk menghadapinya.

"Ini adalah satu tema yang penting bagi rakyat Singapura, walaupun kita dalam situasi yang harmoni di Singapura selama 40 tahun tapi apa yang penting ialah bagaimana dalam situasi pandemik sebelum ini bagaimana rakyat Singapura bersatu, kita semua dapat membuat adaptasi akan situasi dan bagi kita lihat komuniti datang bersama," kata Encik Zaqy yang juga merupakan Menteri Negara Kanan bagi Tenaga Manusia.

PENIAGA MELAYU & MMO JUGA MAINKAN PERANAN PENTING

Antara rakan kerja yang hadir termasuk Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS).

Para peniaga dan badan-badan Melayu/Islam (MMO) juga ada peranan dalam Pertahanan Mutlak.

Selain peranan MMO dalam menjaga keharmonian kaum di negara ini, perniagaan oleh usahawan Melayu/Islam juga penting dalam menyumbang kepada salah satu tunggak Pertahanan Mutlak iaitu Ekonomi.

--

Bagi DPPMS misalnya, kepentingan itu saling melengkapi aspek-aspek lain di bawah Pertahanan Mutlak dan sekaligus membina daya tahan negara dalam menghadapi sebarang krisis.

Katanya: "Kolaborasi antara syarikat-syarikat di Singapura dan juga seperti Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura itu amat penting. Kita harus lihat bahawa dengan kerjasama kita dapat mencapai lebih banyak tujuan yang kita inginkan. Kita harus faham bahawa pertahanan Singapura bukan sahaja dari segi ketenteraan tetapi dari segi ekonomi dan perniagaan.

"Amat penting, setiap individu dan setiap perniagaan fahami yang mereka adalah salah satu tunggak dari segi Pertahanan Mutlak Singapura. Dengan mereka melakukan tanggungjawab mereka dengan betul dan penuh dedikasi, saya yakin bahawa kolaborasi ini dapat mengeratkan perhubungan kita bukan dari segi perniagaan tetapi dari segi pemerintah dan seluruhnya," tambah Encik Azhar Othman.

Di acara itu, para hadirin juga boleh mengetahui lebih mendalam tentang aspek-aspek Pertahanan Mutlak menerusi sebuah pameran khas.

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita