Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kerjasama antarabangsa lebih kukuh diperlukan bagi tangani krisis iklim, gesa PM Lee di Sidang G20

Kerjasama antarabangsa yang lebih kukuh dan pembiayaan dana yang lebih mantap diperlukan di tengah-tengah krisis iklim, tegas Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Ahad (31 Okt) di Sidang Puncak G20.

Anggaran Waktu Membaca:
Kerjasama antarabangsa lebih kukuh diperlukan bagi tangani krisis iklim, gesa PM Lee di Sidang G20

PM Lee Hsien Loong di sidang G20. (Gambar: MCI)

Diterbitkan : 01 Nov 2021 08:25AM Dikemas Kini : 01 Nov 2021 08:28AM

SINGAPURA: Kerjasama antarabangsa yang lebih kukuh dan pembiayaan dana yang lebih mantap diperlukan di tengah-tengah krisis iklim, tegas Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Ahad (31 Okt) di Sidang Puncak G20.

Berucap semasa sesi "Perubahan Iklim dan Alam Sekitar" pada hari kedua sidang puncak di Rome itu, PM Lee menegaskan krisis klim tetap merupakan "cabaran semasa generasi kita" sekalipun dunia masih dicengkam pandemik COVID-19.

"Laporan terkini IPCC (Panel Antara Pemerintah Mengenai Perubahan Iklim) memberikan gambaran yang sangat membimbangkan," katanya.

“Maka itu, tepat pada masanya untuk COP26 bermula hari ini. Sama ada gelombang haba, kenaikan paras air laut, hujan yang lebih lebat atau banjir – sebagai sebuah negara pulau yang kecil, Singapura terdedah kepada bahayanya,” kata PM Lee.

Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu , yang dikenali sebagai COP26 tahun ini, bermula pada petang Ahad di Glasgow, Scotland.

Sebagai permulaan, kerjasama antarabangsa yang lebih kukuh mengenai inisiatif-inisiatif kemampanan perlu dipertingkatkan, kata PM Lee.

Singapura, misalnya, sedang berusaha untuk mewujudkan grid tenaga serantau dengan jiran-jirannya melalui Projek Penyepaduan Tenaga Lao PDR-Thailand-Malaysia-Singapura, katanya.

"Terdapat banyak ruang untuk membuka peluang ekonomi yang lebih besar dan saling menguntungkan kita sedang kita bergerak ke arah usaha mengurangkan pelepasan karbon dan mencapai kemampanan," tambah PM Lee.

Di samping itu, kita perlu meningkatkan pembiayaan dana untuk menampung usaha tersebut, kata PM Lee.

“Ia akan menjadi semakin penting bagi Asia dan banyak ekonomi baru yang lain untuk meningkatkan pembiayaan dana. Atas tujuan ini, kita perlu melaksanakan satu set piawai global yang konsisten dan telus,” katanya.

“Kita perlu membangunkan taksonomi yang bersesuaian untuk menampung kegiatan-kegiatan mesra alam dan kegiatan-kegiatan yang menuju ke arah matlamat tersebut untuk meningkatkan mutu, ketersediaan dan akses kepada data yang diperlukan.”

Dan sebagai sebuah pusat kewangan antarabangsa, Singapura komited untuk menyokong pembangunan keupayaan kewangan yang mampan, menggembleng modal swasta melalui huraian-huraian yang inovatif dan melalui strategi-strategi yang akan "memangkinkan" pelaburan iklim yang berdaya tahan, jelas PM Lee.

Pada masa yang sama, terdapat keperluan yang mendesak untuk menjana dan memanfaatkan teknologi baru, kata PM Lee.

"Ini akan melicinkan peralihan kita ke rendah karbon, dengan menjadikan usaha untuk mengurangkan pelepasan karbon lebih dimampui dan mampan dalam jangka panjang," kata PM Lee.

“Di pihak kami, Singapura sedang meningkatkan penjanaan tenaga suria tempatan sebanyak empat kali ganda (dari tahap 2020) menjelang 2025. Kami juga sedang giat mengkaji dan melabur dalam huraian rendah karbon yang canggih seperti menahan karbon sebelum ia memasuki ruang atmosfera dan memanfaatkan teknologi penyimpanan serta hidrogen.”

PM Lee turut menegaskan bahawa kepimpinan iklim G20 amat diperlukan pada masa genting ini, dan Singapura komited untuk memainkan peranannya.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan