Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kerjasama antarabangsa 'kunci' bantu Asia Pasifik pulih, kata PM Lee

PM Lee memuji New Zealand atas kepimpinan cemerlangnya sebagai pengerusi APEC, sambil berkata ia "menggembleng kita semua supaya bekerjasama semasa pandemik".

Anggaran Waktu Membaca:
Kerjasama antarabangsa 'kunci' bantu Asia Pasifik pulih, kata PM Lee

PM Lee Hsien Loong di Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC pada 12 Nov 2021. (Gambar: MCI)

Diterbitkan : 13 Nov 2021 07:43AM Dikemas Kini : 13 Nov 2021 07:50AM

SINGAPURA: Sedang masyarakat belajar untuk hidup dengan COVID-19, kerjasama antarabangsa adalah "kunci" untuk membantu rantau Asia Pasifik pulih dan untuk membangunkan ekonomi lebih kukuh.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata demikian kepada pada pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada Jumaat (12 Nov).

Beliau berucap di mesyuarat para pemimpin APEC, yang diadakan secara maya dan dipengerusikan oleh Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern.

Dalam ucapannya, PM Lee memuji New Zealand atas kepimpinan cemerlangnya sebagai pengerusi APEC, sambil berkata ia "menggembleng kita semua supaya bekerjasama semasa pandemik".

PM Lee juga menggariskan langkah-langkah yang perlu diambil untuk membantu rantau Asia Pasifik pulih, bermula dengan pembukaan semula sempadan secara bertahap-tahap.

"Sekarang program vaksinasi kita sedang dijalankan dengan stabil, ia boleh dilaksanakan secara selamat," kata beliau. "Kebanyakan ekonomi sudah memperkenalkan laluan perjalanan bagi penumpang divaksin dan berminat untuk memperluaskannya."

Beliau menambah bahawa Singapura sudah melakukannya dengan beberapa ekonomi APEC, termasuk yang bakal dilaksanakan dengan Malaysia.

Sekalipun demikian, beliau berkata salah satu kesulitan adalah untuk membuka sempadan dengan ekonomi-ekonomi yang berpegang kepada strategi "sifar COVID" berbanding yang sudah beralih kepada pendekatan hidup dengan virus tersebut.

"Antara dua kumpulan ekonomi itu, langkah-langkah lebih ketat di sempadan tidak dapat dielakkan buat beberapa tempoh," kata beliau.

"Bagaimanapun, kita mesti menerima hakikat bahawa penting untuk membuka semula sempadan kita untuk: Membangunkan semula ekonomi-ekonomi kita, menyokong perniagaan-perniagaan kita khususnya dalam acara MICE (mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran) serta sektor pelancongan dan untuk membolehkan keluarga-keluarga kembali menjalin hubungan antara satu sama lain."

Beliau menambah, APEC adalah "platform yang baik untuk berkongsi idea dan amalan-amalan terbaik tentang bagaimana untuk membuka semula sempadan secara selamat".

PM Lee juga menggalak ekonomi-ekonomi supaya mempercepat pengiktirafan sijil-sijil digital kesihatan dan untuk terus mendampingi masyarakat perniagaan menerusi Majlis Penasihat Perniagaan APEC.

Kedua, APEC perlu memperkukuh keyakinan kepada rantaian bekalannya, ujar beliau.

"Pandemik ini menggerakkan ekonomi-ekonomi supaya meneliti semula daya bingkas rantaian bekalan masing-masing, termasuk memindahkan rantaian pengeluaran ke dalam pesisir dan memperkukuh keyakinan kepada rangkaian.

"Namun semasa melakukannya, kita tidak harus ekstrim. Pemerintah-pemerintah akan memainkan peranan aktif untuk campur tangan demi memperkukuh rantaian-rantaian bekalan.

"Namun dalam banyak kes, pasaran bebas dan globalisasi sebenarnya menghasilkan rangkaian bekalan yang boleh dipercayai, dipelbagaikan dan berkesan, memberi respons lebih segera dan berhemat berbanding lebih banyak campur tangan oleh pemerintah."

Ekonomi-ekonomi juga harus "secara bersama menyatakan kesanggupan untuk melindungi daya bingkas dan keterbukaan rantaian bekalan", tambah PM Lee.

"Kita perlu membangunkan ketersambungan yang kukuh demi memastikan perdagangan berjalan lancar," ujar beliau.

"Untuk membina keyakinan dengan mengekalkan aliran tidak terhadang bagi barangan dan khidmat antara sempadan, meskipun semasa krisis."

PM Lee berkata bahawa ekonomi-ekonomi APEC sudah menunjukkan perpaduan dan kemajuan.

Beliau memetik contoh penerimaan bagu Perisytiharan Memudahkan Pergerakan Barangan Penting pada Julai tahun lalu dan Kenyataan behrubung Rantaian Bekalan Vaksin COVID-19, yang dipersetujui tahun ini.

"Menjangkaui krisis ini, sokongan kita bagi institusi-institusi berbilang pihak seperti WTO (Pertubuhan Perdagangan Sedunia) dan liberalisasi perdagangan perlu melengkapi penekanan terang-terangan ke atas daya bingkas rantaian bekalan," kata beliau.

Ketiga, negara anggota APEC mesti memperdalam integrasi ekonomi serantau.

"Negara anggota APEC sudah mengambil langkah-langkah menggalakkan ke arah visi bidang perdagangan bebas Asia Pasifik," kata beliau.

Ini termasuk perjanjian-perjanjian seperti Perjanjian Menyeluruh dan Progresif bagi Kerjasama Rentas Pasifik dan Kerjasama Ekonomi Menyeluruh Serantau (RCEP)

RCEP meliputi "sejumlah besar" negara anggota APEC, yang menyumbang 30 peratus hasil dalam negeri kasar (GDP) dan ia akan dikuatkuasakan pada 1 Januari.

"Kita perlu meneruskan skim-skim utama ini untuk mencapai lebih banyak kemajuan ke arah bidang perdangan bebas Asia Pasifik," ujar PM Lee.

Ekonomi-ekonomi juga mesti "memandang ke hadapan dan merebut peluang-peluang dalam bidang baru pertumbuhan," kata PM Lee.

Beliau menekankan ekonomi digital sebagai salah satu bidang sedemikian, sambil menarik perhatian kepada "potensi besar ke atas ekonomi".

"Perbelanjaan tahunan ICT (teknologi maklumat dan infokom) di Asia Pasifik akan menjangkaui AS$1 trilion (S$1.35 trilion) menjelang 2025," kata beliau.

"Di Asia Tenggara sahaja, ekonomi internet diunjurkan menjangkaui AS$300 bilion (S$405 bilion) setahun."

Ekonomi-ekonomi mesti menyokong perniagaan dan rakyat mereka dalam membuat peralihan tersebut, tambah PM Lee.

"Kita mesti melabur dalam usaha meningkatkan kemahiran tenaga kerja kita dan mempersiap mereka bagi era digital," kata beliau.

"Kita perlu membangunkan prasarana digital untuk menjalankan lebih banyak silang operasi antara ekonomi. Kita perlu menjajarkan peraturan digital dan piawaian kita untuk memudahkan aliran data rentas sempadan.

"Negara anggota APEC perlu mempertingkat kerjasama dalam ekonomi digital dan berusaha ke arah Perjanjian Ekonomi Digital (DEA)."

Sejauh ini terdapat DEA antara Singapura dengan Australia dan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Digital (DEPA) antara Chile, New Zealand dengan Singapura.

Salah satu cara untuk ke arah perjanjian digital serantau adalah untuk memperluas DEPA sedia ada, kata PM Lee.

"Cara lain adalah, kita boleh mewujudkan perjanjian baru dengan keanggotaan yang lebih meluas. Dua pendekatan ini tidak eksklusif dan boleh menjadi batu loncatan ke arah pembangunan digital lebih meluas serantau atau sejagat, kata beliau.

PM Lee juga menekankan perubahan iklim dan ekonomi mesra alam sekitar sebagai bidang yang penting, sambil menambah perubahan iklim adalah "isu rumit tanpa huraian mudah".

Terdapat peluang-peluang bagi menjalin kerjasama, seperti huraian-huraian rendah karbon dan keupayaan-keupayaan baru dalam bidang-bidang seperti kewangan berdaya mampan dan khidmat-khidmat perdagangan karbon, tambah beliau.

"APEC boleh menjadi tapak bagi idea-idea baru, untuk merintis huraian-huraian inovatif dan menetapkan peraturan serta piawaian bersama dalam ekonomi mampan," kata beliau.

"Singapura sudah melancarkan Pelan Menghijau 2030 kami dan sedang meneroka Perjanjian Ekonomi Mampan dengan rakan-rakan yang berpandangan sama.

"Kami gembira untuk berkongsi pengalaman-pengalaman kita dan belajar daripada yang lain untuk mempertingkat kehidupan, memperkukuh kebergantungan antara satu sama lain dan membawa kemajuan, kestabilan serta keamanan di Asia Pasifik."

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan