Kerja sukarela bantu warga emas jadi lebih sihat, bahagia - Tinjauan NVPC
Tinjauan NVPC menunjukkan warga senja yang aktif dengan kerja sukarela kurang jatuh sakit, lebih puas hati dengan kehidupan.
SINGAPURA: Kerja-kerja sukarela membantu warga tua berasa lebih sihat, lebih bahagia dan lebih dekat dengan masyarakat.
Ia juga mudah diterapkan dalam gaya hidup dan minat seseorang, menurut dapatan satu tinjauan Pusat Sukarelawan dan Kedermawanan Kebangsaan (NVPC) yang didedahkan pada Sabtu (14 Sep).
Kajian NVPC itu meninjau 1000 warga senja berusia 50 tahun ke atas.
Ia mendapati bahawa lebih 70 peratus warga senja yang melakukan kerja sukarela, tidak jatuh sakit atau mengalami penyakit ringan sahaja. Ini berbanding 60 peratus yang tidak berbuat demikian.
80 peratus pula berkata mereka berpuas hati dengan kehidupan masing-masing berbanding 70 peratus yang tidak menjadi relawan.
Selain itu, mereka juga rasakan ia memberi mereka kepuasan dan matlamat hidup yang lebih besar.
"Bukan kita sahaja menolong orang lain.Dengan secara tidak langsung, dengan tidak disedari kita juga menolong diri kita sendiri," menurut seorang sukarelawan bernama Cik Noorjahan Kamaruddin, 59 tahun.
Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) Grace Fu berkata Pemerintah giat membantu warga tua untuk kekal aktif menerusi pekerjaan, bersenam atau pembelajaran.
Demi menggalakkan lebih ramai warga tua menjadi sukarelawan, satu memorandum persefahaman ditandatangani antara Pertubuhan Sukarelawan Warga Tua Singapura dan MCCY.
Mereka akan bekerjasama dengan syarikat-syarikat korporat dan memadankan para pekerja lanjut usia dengan peluang-peluang menjadi sukarelawan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.