Skip to main content

Singapura

Kerja saliran Samwoh Corporation cetuskan banjir di simpang Pasir Ris-Tampines; PUB akan ambil tindakan

Kerja-kerja saliran tidak diluluskan yang dijalankan oleh syarikat binaan Samwoh Corporation menyebabkan banjir teruk di persimpangan antara Tampines Avenue 10 dan Pasir Ris Drive pada 20 Ogos, menurut agensi air negara PUB.

Anggaran Waktu Membaca:
Kerja saliran Samwoh Corporation cetuskan banjir di simpang Pasir Ris-Tampines; PUB akan ambil tindakan

(Gambar: PUB)

Diterbitkan : 11 Sep 2021 02:28PM Dikemas Kini : 11 Sep 2021 02:29PM

SINGAPURA: Kerja-kerja saliran tidak diluluskan yang dijalankan oleh syarikat binaan Samwoh Corporation menyebabkan banjir teruk di persimpangan antara Tampines Avenue 10 dan Pasir Ris Drive pada 20 Ogos, menurut agensi air negara PUB, sambil menambah ia akan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat itu.

Dalam kenyataan medianya pada Sabtu (11 Sep), PUB menyatakan bahawa ia sudah menjalankan "siasatan menyeluruh" bagi menentukan punca banjir itu yang berlarutan selama hampir dua jam dan menjejas laluan sepanjang 200 meter di persimpangan tersebut.

Hasil siasatan PUB mendedahkan bahawa Samwoh, yang sedang melakukan kerja-kerja peluasan jalan raya di Tampines Ave 10, menyekat longkang sedia ada di tepi jalan raya itu dan mengalihkan air hujan ke bahagian longkang baru yang masih sedang dibina.

Bahagian longkang baru itu tidak dihubungkan dengan betul dengan longkang sedia ada dan sebahagiannya terhalang oleh perancah.

Samwoh juga gagal mendapatkan kelulusan PUB untuk meneruskan kerja-kerja bagi melencongkan saliran yang diusulkan itu, menurut agensi tersebut.

"Kerja-kerja saliran Samwoh yang tidak diluluskan telah menjejas dengan ketara pengaliran air hujan ke Sungei Api Api, menyebabkan air banjir bertakung di simpang trafik memandangkan ia adalah bahagian terendah di kawasan berkenaan," tambah kenyataan PUB.

"PUB kemudian mengarahkan Samwoh supaya melakukan kerja-kerja pembaikan dengan segera untuk menghapuskan semua hadangan dan memastikan air hujan dapat mengalir dengan berkesan di bahagian longkang itu."

Sensor paras air PUB menunjukkan bahawa Sungei Api Api, yang mengalirkan air ke laut, hanya separuh penuh ketika banjir itu berlaku.

Sepanjang tempoh banjir, sebahagian daripada 13 kenderaan dinaiki air bah dan beberapa pemandu memerlukan bantuan untuk keluar daripada kenderaan masing-masing, menurut PUB.

Para pegawai daripada pasukan respons pantas PUB, bersama dengan para pegawai dari Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), melencongkan laluan lalu lintas dan menghulurkan bantuan kepada para pemandu dan pejalan kaki yang terkandas.

"Lokasi itu bukanlah kawasan yang sering berlaku banjir mahupun mudah terdedah kepada banjir - sistem saliran air hujan di sini berupaya menangani paras air hujan yang berlaku pada 20 Ogos," menurut PUB.

"Paras air hujan yang dilihat di lokasi ini serupa dengan cuaca hujan yang berlaku pada 5 April 2021 dan 22 November 2020 di mana tiada banjir berlaku."

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita