Kerja peningkatan Masjid Darul Makmur hampir selesai, dijangka terima jemaah pada Hari Raya Haji
Selepas hampir dua tahun, kerja-kerja peningkatan Masjid Darul Makmur kini hampir siap dan diharap dapat menerima jemaah pada Hari Raya Haji akan datang.
SINGAPURA: Selepas hampir dua tahun, kerja-kerja peningkatan Masjid Darul Makmur kini hampir siap dan diharap dapat menerima jemaah pada Hari Raya Haji akan datang.
Berita ini dikongsi oleh penasihat GRC Nee Soon, termasuk Dr Muhammad Faishal Ibrahim, pada malam ini tadi (27 Mac).
Beliau turut hadir di lokasi sementara Masjid Darul Makmur bersama Menteri Undang-Undang, K Shanmugam, serta beberapa penasihat GRC Nee Soon yang lain.
Ketibaan mereka disambut pengerusi baharu Masjid Darul Makmur, Mohd Fairus Abdul Manaf.
"Kami rasa gembira kerana kita dapat lihat pembangunan Masjid Darul Makmur pun hampir siap jadi tinggal proses-proses yang terakhir. Kami mendekati pihak masjid dan kami diberitahu bahawa kalau permit semua dilestarikan, kita akan cuba membuka masjid di mana kita boleh sembahyang pada Hari Raya Haji tahun ini.
"Insya-Allah permit yang kita mahu boleh didapatkan (pada masa terdekat) supaya masyarakat boleh mengerjakan solat Hari Raya Haji di masjid yang baharu," kata Dr Faishal.
INSIDEN PROVOKASI DI SESI BERTEMU RAKYAT PAP
Dalam pada itu, Encik Shanmugam lebih mengulas lanjut mengenai insiden sekumpulan individu yang datang ke Sesi Bertemu Rakyat Parti Tindakan Rakyat (PAP) dengan sengaja untuk mengganggu dan cuba melakukan provokasi.
Encik Shanmugam menjelaskan bahawa beliau tidak mengambil tindakan terhadap dua individu tersebut, namun mendedahkan bahawa kedua-dua mereka sedang disiasat atas kesalahan yang tidak berkaitan.
"Mereka telah disiasat sebelum ini dan siasatan tersebut masih diteruskan. Tetapi mengenai apa yang berlaku di Sesi Bertemu Rakyat saya di Chong Pang, seperti yang saya katakan, saya tidak berniat untuk membuat laporan polis. Anda tahu, mereka berdua masih muda. Saya berada dalam generasi ibu bapa mereka dan sebenarnya, saya berharap mereka akan mempunyai ruang untuk belajar dan berkembang daripada insiden ini," kata Encik Shanmugam.
Beliau juga menyeru masyarakat untuk terus bergerak ke hadapan dan mengekalkan perpaduan.
"Pandangan saya ialah kita sepatutnya cuba untuk terus maju. Dan sebenarnya, fokus kita haruslah pada usaha membina sebuah komuniti yang lebih kukuh bersama-sama. Ini termasuk mengadakan perbincangan, dialog yang membina, serta membincangkan pelbagai isu, termasuk yang sukar," tambah beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.