Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kerja pembinaan T5 Changi dijangka bermula 2025

Anggaran Waktu Membaca:
Kerja pembinaan T5 Changi dijangka bermula 2025

(Gambar: Changi Airport Group)

SINGAPURA: Kerja-kerja pembinaan Terminal 5 (T5) Lapangan Terbang Changi dijangka bermula pada 2025 dan beroperasi sekitar pertengahan tahun-tahun 2030-an, umum Menteri Pengangkutan S Iswaran pada Jumaat (3 Mac). 

Memberikan perkembangan projek tersebut, Encik Iswaran berkata, kerja-kerja persiapan tanah dan saluran air di Changi East sudah selesai dan landasan  ketiga juga akan selesai dibina menjelang hujung dekad ini.

Projek tersebut digantung sementara selama dua tahun akibat pandemik. 

Bagi membiayai projek yang memerlukan perbelanjaan besar dan tidak menentu itu,Pemerintah akan menyalurkan tambahan S$2 bilion ke dalam dana Pembangunan Lapangan Terbang Changi.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata pada Rapat Umum Hari Kebangsaan tahun lalu bahawa T5 direka semula agar siap mengharungi pandemik dan lebih cekap guna tenaga. 

Untuk menampung peningkatan penerbangan dan penumpang di Lapangan Terbang Changi sebelum T5 siap dibina, Changi Airport Group dan pihak berkepentingan lapangan terbang sudah melakarkan "pelan operasi", kata Encik Iswaran. 

Tenaga kakitangan penerbangan kini berada pada sekitar 90 peratus tahap sebelum pandemik, dengan pemulihan penuh dijangka menjelang tahun ini, kongsi beliau lagi. 

Dalam pada itu, jumlah trafik penumpang, penerbangan dan ketersambungan bandar berada pada kira-kira 80 peratus tahap sebelum pandemik. Berdasarkan unjuran sekarang ini, jumlah penumpang di Lapangan Terbang Changi berada di landasan untuk mencapai tahap sebelum pandemik menjelang 2024 atau lebih awal lagi. 

400 BAS ELEKTRIK BARU UNTUK GANTI BAS DIESEL

Sektor pengangkutan darat sedang meningkatkan usaha bagi mewujudkan Singapura yang lebih mesra alam. 

Encik Iswaran pada Jumaat mengumumkan, sekitar 400 bas elektrik baru dijangka digunakan mulai Disember 2024. 

Untuk menggantikan bas diesel yang menghampiri jangka hayat perlembagaan, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) akan membuka tender pada Mac untuk mendapatkan bas elektrik baru itu. Pemenang tender itu dijangka diumumkan pada separuh kedua tahun ini. 

Pengumuman tersebut sejajar dengan usaha Singapura untuk menggunakan bas elektrik bagi pengangkitan awam.

Menjelang 2030, bas elektrik dijangka membentuk separuh daripada jumlah bas awam yang sedia ada, manakala Singapura berharap untuk menggunakan hanya bas bertenaga lebih bersih menjelang 2040. 

Setakat ini, 60 bas elektrik sudah dibeli dan digunakan, menurut LTA dalam dokumen maklumatnya. 

Kemudahan mengecas bas elektrik sudah dipasang di Depot Bas Balim, Depot Bas Seletar, Depot Bas Loyang, Hab Pengangkutan Bersepadu Tampines dan Hab Pengangkutan Bersepadu Bukit Panjang. 

Lebih banyak depot bas yang menyokong bas elektrik akan selesai dibina secara beransur-ansur menjelang 2030.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan