Kerja pembinaan ladang telur keempat SG belum bermula meski dijadual beroperasi pada 2024
Kerja-kerja pembinaan ladang telur keempat di Singapura belum bermula walaupun terdapat rancangan bagi salah satu kemudahannya beroperasi pada tahun ini.
(Gambar: Big Dutchman)
Perkembangan tersebut dikongsi bersama pemegang saham yang ingin mendapatkan penjelasan sebab projek itu tertangguh, dalam satu mesyuarat agung tahunan anjuran penyedia khidmat huraian dan kejuruteraan Ellipsiz pada Oktober lalu.
Syarikat Ellipsiz yang tersenarai dalam bursa Singapura merupakan pemilik ladang telur keempat itu melalui pegangan 80 peratus dalam ISE Foods Holdings (IFH), iaitu syarikat tempatan yang dibangunkan untuk menubuhkan dan mengendalikan ladang telur berkenaan.
IFH menjalin kerjasama dengan ISE Japan, iaitu pengeluar telur utama di Jepun bagi projek tersebut.
Rancangan membina ladang telur itu diumumkan seawal 2021, apabila IFH memeterai perjanjian dengan Agensi Makanan Singapura (SFA) untuk memulakan pembangunan projek bernilai S$100 juta itu.
Ladang telur itu akan mempunyai empat kemudahan utama - sebuah ladang telur komersial dan sebuah tempat penetasan anak ayam di Lim Chu Kang, sebuah ladang menternak ayam bagi tujuan komersial di Sungei Tengah dan satu lagi ladang untuk menternak anak ayam di Tuas.
Kemudahan di Tuas akan menternak anak ayam diimport sehingga ia mencecah usia sekitar 18 minggu, di mana selepas itu ia akan dipindahkan ke sebuah lagi ladang di mana ayam betina akan menghasilkan telur yang akan dihantar ke ladang.
Kerja-kerja pembinaan ladang telur itu dijangka bermula pada 2022 dan ladang telur komersial seluas 10 hektar itu dijadual mula beroperasi menjelang 2024.
Tiga lagi kemudahan yang lain dijadual siap menjelang 2026.
Apabila siap dibina, ladang telur itu dijangka dapat menghasilkan sebanyak 360 juta telur setiap tahun, sekali gus meningkatkan keupayaan industri telur tempatan untuk menenuhi sekitar 50 peratus daripada permintaan telur di Singapura, berbanding 30 peratus buat masa ini.
Namun projek itu tertangguh disebbakan kos meningkat, dengan Ellipsiz membuat pemfailan pada Julai lalu di mana ia menukil pandemik COVID-19, gangguan rantaian bekalan dan tekanan inflasi akibat ketegangan geopolitik sebagai antara sebab-sebabnya.
Ellipsiz juga menarik perhatian kepada peri pentingnya meningkatkan langkah biokeselamatan ladang telur itu menyusuli penularan penyakit yang menjejas burung di rantau ini.
Syarikat itu kemudian menyatakan bahawa ia mungkin perlu menimbang semula rancangan membuka perniagaan di sini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.