Skip to main content

Singapura

Kerja pembersihan masjid berjalan lancar; MUIS terus pertingkat usaha bendung COVID-19 dalam kalangan jemaah

Memberikan kemas kini berhubung penutupan semua masjid buat sementara waktu di seluruh Singapura, Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) Encik Esa Masood mendedahkan hari ini (15 Mac) bahawa kerja-kerja pembersihan di semua masjid sedang berjalan lancar.

Anggaran Waktu Membaca:
Kerja pembersihan masjid berjalan lancar; MUIS terus pertingkat usaha bendung COVID-19 dalam kalangan jemaah

(Gambar: Facebook/MUIS)

Diterbitkan : 15 Mar 2020 02:15PM Dikemas Kini : 15 Mar 2020 02:20PM

SINGAPURA: Memberikan kemas kini berhubung penutupan semua masjid buat sementara waktu di seluruh Singapura, Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) Encik Esa Masood mendedahkan hari ini (15 Mac) bahawa kerja-kerja pembersihan di semua masjid sedang berjalan lancar.

Dalam pada itu, MUIS turut memberi jaminan kepada seluruh umat Islam di sini bahawa ia akan terus mempertingkatkan usaha bagi mengekang penularan COVID-19 dalam kalangan jemaah di Singapura.

Ini setelah jumlah jangkitan COVID-19 terus meningkat di beberapa negara dalam kalangan jemaah yang menghadiri perhimpunan tabligh besar-besaran di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Lima rakyat Singapura disahkan positif COVID-19 selepas menghadiri acara berkenaan, menurut kenyataan MUIS yang dikeluarkan hari ini.

Menulis di laman Facebook MUIS, Encik Esa berkata langkah menutup masjid bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan yang menyeluruh merupakan satu langkah berjaga-jaga memandangkan ramai umat Islam di Singapura berhimpun di masjid setiap hari, termasuk semasa mengerjakan solat Jumaat.

Encik Esa juga meluahkan setinggi-tinggi penghargaan kepada masyarakat Islam setempat atas kesabaran dan sikap memahami mereka berhubung keputusan untuk menutup masjid-masjid buat sementara waktu dan atas segala kesulitan yang mungkin berlaku dan dialami akibat keputusan tersebut.

"Alhamdulillah, ramai daripada kalangan masyarakat Islam kita memberikan sokongan dan faham ia menjadi tugas kami untuk melindungi umat Islam dan juga masyarakat secara amnya," tulis Encik Esa dalam catatan tersebut.

Selain itu, beliau juga menggesa agar golongan warga emas diberikan penjagaan rapi memandangkan kajian menunjukkan bahawa pesakit COVID-19 yang berusia 60 tahun ke atas lebih terjejas oleh virus itu.

Mengakhiri catatannya, Encik Esa berkata MUIS akan terus memantau perkembangan dan akan memberikan kemas kini berhubung pembukaan semula masjid. 

Sumber : BERITA Mediacorp/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita