Kerja pembaikan ditangguh, Masjid Omar Salmah kekal dibuka
Ini bermakna masjid yang terletak di Jalan Mashhor itu kekal dibuka.
Demikian disahkan oleh pihak masjid apabila dihubungi BERITA Mediacorp hari ini (8 Jan).
Masjid Omar Salmah sepatutnya ditutup sebulan mulai hari ini (8 Jan) hingga 7 Februari bagi menjalankan kerja-kerja pembaikan tersebut.
Perkara ini disebarkan menerusi sekeping gambar yang dikongsi ramai melalui aplikasi WhatsApp.
Gambar itu menunjukkan sepanduk yang digantung di pagar masjid tersebut, memaklumkan kepada orang ramai tentang penutupan dari 8 Januari hingga 7 Februari.
Teks yang tertera pada sepanduk itu adalah: "Masjid Omar Salmah akan ditutup sepenuhnya dari 8 Januari hingga 7 Februari 2024 untuk Projek Peningkatan Masjid."
Sepanduk tersebut sudahpun diturunkan oleh pihak masjid, Naib Pengerusi Masjid Omar Salmah, Encik Hamid Sulaiman memberitahu BERITA Mediacorp.
Menurut Encik Hamid, pihaknya diarahkan oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) supaya menangguhkan hasrat tersebut.
Kerja-kerja pembaikan hanya dapat dimulakan apabila pihaknya menerima surat pengesahan rasmi oleh MUIS, tambah beliau.
Beliau bagaimanapun tidak dapat memberi tarikh tepat untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan, yang dianggarkan mengambil masa sebulan.
Buat masa ini, masjid masih dibuka kepada para jemaah.
Encik Hamid juga berkongsi bahawa kerja-kerja pembaikan yang dirancang adalah untuk menggantikan wayar di seluruh masjid.
Kali terakhir masjid tersebut menjalani kerja-kerja pembaikan untuk menukar wayarnya adalah pada tahun 1997, ujar Encik Hamid.
Apabila kerja-kerja pembaikan bermula kelak, para jemaah dinasihatkan agar ke masjid-masjid berdekatan.
Berikut antara masjid lain berdekatan yang boleh dikunjungi:
- Masjid Hajjah Rahimabi Kebun Limau
- Masjid Abdul Hamid Kampung Pasiran
- Masjid An-Nahdhah
- Masjid Muhajirin
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.