Skip to main content

Singapura

Kerja pembaikan dijalankan selepas lelaki, anak perempuan jatuh dalam lubang di jambatan Paya Simpanan Sungei Buloh

Anggaran Waktu Membaca:
Kerja pembaikan dijalankan selepas lelaki, anak perempuan jatuh dalam lubang di jambatan Paya Simpanan Sungei Buloh

Dua pekerja dilihat sedang melakukan kerja pembaikan di lintasan pintu kawalan air, yang digunakan untuk mengawal paras air di kolam paya simpanan tersebut. (Gambar: CNA/Jeremy Long)

SINGAPURA: Kerja-kerja pembaikan sedang dijalankan di Paya Simpanan Sungei Buloh pada Khamis (26 Jan), tiga hari selepas seorang lelaki dan anak perempuannya berusia 2 tahun, terjatuh ke dalam sebuah lubang di jambatan tersebut.

Apabila Mediacorp mengunjungi paya simpanan tersebut pada Khamis pagi, dua pekerja dilihat sedang melakukan kerja pembaikan di lintasan pintu kawalan air, yang digunakan untuk mengawal paras air di kolam paya simpanan tersebut.

Salah seorang daripada pekerja-pekerja tersebut memberitahu Mediacorp bahawa empat papan lintasan tersebut perlu digantikan.

Kawasan tersebut ditutup sedang kerja-kerja tersebut masih dijalankan, dan beberapa kepingan logam besar boleh dilihat bersebelahan pekerja-pekerja itu.

Pintu lintasan tersebut terletak berdekatan dengan sudut pemerhatian 1E, seperti yang digambarkan oleh Encik Bucky Hussein dalam hantaran Instagramnya berhubung insiden demikian.

Insiden tersebut berlaku ketika keluarga Encik Hussain, yang terdiri daripada dirinya, isteri dan dua orang anaknya - sedang bersiap sedia untuk meninggalkan taman semula jadi tersebut kerana hujan lebat antara 11.00 pagi dengan 12.00 tengah hari.

Ketika mereka sedang melintasi jambatan dengan paras air setinggi "3 sehingga 5 sentimeter air", Encik Hussain berkata bahawa dia dan anaknya yang berusia 2 tahun, Ashley, terjatuh ke "dalam lubang yang besar" dan ke dalam air yang "bertukar gelap dan berlumpur"

Mujur, kedua-duanya berjaya naik semula ke jambatan tersebut. Dalam hantarannya di Instagram, dia menggambarkan keadaan seolah-olah mereka berdua "nyaris-nyaris lemas".

Menjawab pertanyaan Mediacorp pada Rabu (25 Jan), Pengarah Kumpulan Pemuliharaan Lembaga Taman Negara (NParks) Lim Liang Jim berkata: "Air melimpah semasa kemuncak air pasang, diburukkan lagi dengan hujan lebat yang melimpah ke panel lantai, sekali gus mendedahkan jurang."

"Kawasan tersebut sudah ditutup menyusuli insiden itu, dan jurang tersebut juga sudah ditutup selepas air surut," tambah Encik Lim.

"Kami sedang memantau dengan teliti paras air di paya simpanan tersebut dan akan mengambil langkah untuk menutup buat sementara waktu bahagian-bahagian yang terdedah kepada banjir yang berlaku sekali-sekala."

Mediacorp sudahpun menghubungi NParks untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kerja-kerja pembaikan itu di tapak berkenaan.
 
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita