Skip to main content

Singapura

Kerja naikkan jalan raya dilakukan di Dunearn Road sebagai 'langkah sementara' terhadap risiko banjir: PUB

Kerja-kerja menaikkan jalan raya sepanjang 450 meter akan dilakukan di Dunearn Road sebagai "langkah sementara" untuk mengurangkan risiko banjir ketika kerja-kerja saliran yang sedang dijalankan diselesaikan, menurut agensi air nasional PUB pada Sabtu (28 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Kerja naikkan jalan raya dilakukan di Dunearn Road sebagai 'langkah sementara' terhadap risiko banjir: PUB

(Gambar: PUB)

Diterbitkan : 28 Aug 2021 03:24PM Dikemas Kini : 28 Aug 2021 03:25PM

SINGAPURA: Kerja-kerja menaikkan jalan raya sepanjang 450 meter akan dilakukan di Dunearn Road sebagai "langkah sementara" untuk mengurangkan risiko banjir ketika kerja-kerja saliran yang sedang dijalankan diselesaikan, menurut agensi air nasional PUB pada Sabtu (28 Ogos).

Kerja menaikkan jalan raya dijangka selesai pada November tahun ini, menurut PUB.

Pada Selasa, banjir kilat berlaku di sebahagian Dunearn Road dari Sime Darby Center ke Binjai Park ekoran hujan lebat.

Hujan lebat "telah menyebabkan satu bahagian Terusan Bukit Timah ditenggelami air buat sementara waktu", kata PUB dalam kenyataan itu.

Kawasan itu dikenali sebagai tempat yang kerap berlakunya banjir dan "projek pembaikan saliran sedang dijalankan untuk mengatasi masalah tersebut", menurut PUB.

"PUB sedang dalam proses memperluaskan dan memperdalamkan bahagian sepanjang 900m di Terusan Bukit Timah dari Rifle Range Road ke Jalan Kampong Chantek untuk meningkatkan kemampuan salirannya," tambahnya.

Kerja-kerja untuk projek tersebut bermula pada 2019 dan dijangka siap pada suku pertama 2024.

Apabila siap nanti, terusan yang sudah dinaik taraf akan "meningkatkan perlindungan banjir untuk kawasan sekitarnya termasuk Dunearn Road, dan mengurangkan risiko banjir kilat daripada terjadi", jelas PUB.

PUB menyatakan bahawa selama sedekad lalu, ia telah melakukan "pelaburan penting" untuk meningkatkan daya tahan banjir di kawasan Bukit Timah.

Pada 2013, sebahagian daripada Terusan Bukit Timah dari Sixth Avenue ke Jalan Kampong Chantek telah diperluaskan.

Pada 2019, kerja naik taraf Terusan Lencongan Pertama Bukit Timah diselesaikan untuk membolehkannya mengalirkan 30 peratus lebih banyak air hujan.

"Kedua-dua projek terusan itu telah membantu mengurangkan risiko banjir secara drastik di sepanjang Bukit Timah Road antara Jalan Kampong Chantek dengan Maple Avenue, dan di Dunearn Road antara Swiss Club Road hingga Sixth Avenue," menurut PUB.

Agensi itu menambah, sejak Terusan Lencongan Pertama Bukit Timah dipertingkat, ia berfungsi seperti yang dirancangkan dan dapat menangani kadar hujan yang bertambah.

Risiko banjir bagi bahagian hulu terusan dari Rifle Range Road ke Jalan Kampong Chantek, di mana berlakunya banjir kilat pada Selasa, akan juga ditangani apabila kerja-kerja di situ selesai, tambah PUB.

TIDAK BOLEH TERUS MEMPERLUAS TERUSAN: PUB

PUB menyatakan bahawa perluasan terusan air di Singapura tidak semestinya satu penyelesaian" untuk memenuhi setiap kejadian hujan yang lebat kerana kawasan tanah yang terhad".

"PUB mempunyai strategi pengurusan banjir yang komprehensif, termasuk pemantauan keadaan jalan dan permukaan air di longkang, dan terusan kami melalui rangkaian sensor paras air dan kamera CCTV yang luas.

"Kami juga memanfaatkan teknologi radar untuk meramalkan kemungkinan lokasi banjir kilat supaya dapat mengerahkan pasukan bertindak kami di merata pulau dengan segera," tambah PUB.

"Mereka membantu melindungi orang awam daripada bahaya dengan melencongkan lalu lintas dari kawasan-kawasan yang mengalami banjir, dan membantu pejalan kaki atau pemandu kenderaan yang terkandas." 

Sumber : CNA/TQ/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita