Kerja naik taraf LRT Bukit Panjang dijangka siap pada 2026 selepas ditunda

Gambar fail
SINGAPURA: Kerja-kerja naik taraf LRT Bukit Panjang (BPLRT) dijangka selesai pada 2026, menurut Menteri Pengangkutan S Iswaran dalam jawapan bertulis parlimen pada Isnin (28 Nov).
Beliau menjawab pertanyaan yang diajukan AP Liang Eng Hwa (PAP-Bukit Panjang) berhubung kemajuan kerja naik taraf sistem BPLRT.
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) sebelum ini menyatakan pembaharuan itu dijangka selesai menjelang 2024.
Encik Iswaran berkata, terdapat kemajuan, dengan sebahagian sistem isyarat sudahpun diperbaiki.
Namun, katanya, projek itu berdepan "beberapa cabaran sejak 2020" disebabkan kesan COVID-19.
Ia termasuk kurang pekerja, kemajuan lebih peralahan disebabkan perintah berkurung di bandar-bandar China di mana kerja pengilangan kereta api dilakukan, serta gangguan rantaian bekalan, ujar Encik Iswaran.
LTA memberi kontrak bernilai S$344 juta kepada Bombardier Singapura pada 2018 bagi pembaharuan sistem BPLRT yang merangkumi kerja naik taraf pelbagai sistem pada laluan tersebut.
Ia termasuk memperbaharui seluruh sistem isyarat dan tenaga kuasa kereta api, menambah 19 kereta api baru, menaik taraf lagi 13 kereta api yang sedia ada, serta melengkapkan sistem berkenaan dengan keupayaan pemantauan keadaan, dedah Encik Iswaran.
Encik Liang juga bertanya, bila sistem itu akan dikembalikan kepada khidmat dua arah.
Dalam jawapannya, Encik Iswaran berkata LRT Bukit Panjang "terus menawarkan khdimat dua arah semasa waktu sibuk".
"Namun, untuk mengurangkan tekanan terhadap sistem BPLRT yang semakin lapuk sebelum kerja pembaharuan siap, BPLRT akan terus beroperasi dalam satu gelung semasa waktu tidak sibuk apabila tidak ada ramai penumpang."
Sejak Disember 2019, LRT tersebut beroperasi menerusi perkhidmatan satu hala melalui Stesen Petir semasa waktu tidak sibuk. LTA pada waktu itu menyatakan keputusan akan "memadankan bekalan dengan permintaan dengan lebih baik lagi, tanpa menjejas khidmat kepada penumpang".
Encik Iswaran turut berkata, terdapat lebih 10 khidmat bas yang beroperasi sekitar Choa Chu Kang dan Bukit Panjang yang boleh mengurangkan kesan yang dihadapi penduduk.
Lima khidmat bas beroperasi sehala dengan BPLRT, tambahnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.