Kerja naik taraf 2 tahun selesai; Taman Marsiling dibuka semula
Taman Marsiling, yang sebelum ini dikenali dengan nama Taman Bandar Woodlands, ditutup bagi kerja-kerja naik taraf pada bulan Julai 2016.
SINGAPURA: Sebuah taman di Marsiling yang dahulu terkenal dengan kegiatan maksiat, hari ini (29 Apr) dibuka semula setelah menjalani kerja-kerja peningkatan selama hampir dua tahun.
Taman Marsiling, yang sebelum ini dikenali dengan nama Taman Bandar Woodlands, ditutup bagi kerja-kerja naik taraf pada bulan Julai 2016 menyusuli maklum balas daripada para penduduk.
Menurut laporan media sebelum ini, para penduduk mengadu tentang kegiatan maksiat yang berlaku di taman tersebut dan mereka yang tinggal berhampiran taman itu menjauhinya kerana berasa tidak selamat.
Berucap di pembukaan semula taman tersebut hari ini, Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong berkata: "Dalam tempoh beberapa tahun lalu, seperti yang anda ketahui daripada laporan media, kita berdepan kegiatan maksiat di kawasan ini."
Kini taman itu sudahpun berwajah baru dengan bantuan para pemimpin akar umbi, NParks serta Presiden Halimah Yacob, yang menggesa supaya taman itu dinaik taraf semasa beliau menyandang jawatan sebagai Anggota Parlimen Marsiling, kata Encik Wong.
Taman seluas 13 hektar itu menyediakan taman permainan berbentuk rama-rama - satu-satunya di Singapura - pelantar laluan baru, sudut warisan serta sebuah kafe yang dibuka 24 jam.

Lampu-lampu di sana juga sudah dibaiki dan ruang kegiatan kini bermandikan cahaya terang, membolehkan para pengunjung menikmati taman serta menggunakan kemudahannya pada sebelah malam, menurut NParks.
Kawasan paya bakau juga dipertingkat untuk membolehkan para pengunjung mendekati alam semula jadi.
Spesis bakau terancam tempatan seperti Berembang juga diperkenalkan untuk mempertingkat kepelbagaian bio dan daya tahan ekologi bakau.

Taman itu adalah sebahagian daripada enam "daya tarikan utama" yang diperkenalkan pada tahun lalu untuk menghidupkan semula estet perumahan Woodlands. Daya tarikan lain termasuk pembangunan baru rekreasi dan perumahan.
Sebagai sebahagian daripada kumpulan ketiga estet di bawah program Membentuk Semula Estet (ROH) Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), estet Woodlands akan menjalani kerja-kerja naik taraf dalam tempoh lima hingga 10 tahun.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.