Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kerja-kerja sistem rel RTS Johor Bahru-SG siap 50%

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Kerja-kerja yang membabitkan sistem rel bagi projek Sistem Gerak Cepat (RTS) Johor Bahru-Singapura sudah mencapai tahap kemajuan 50 peratus siap.

Pemasangan trek landasan yang bermula di Depoh Wadi Hana di Johor Bahru juga berjalan mengikut jadual dan sudah 65 peratus siap.

Demikian kemas kini oleh syarikat pengendali RTS Operations (RTSO) semasa sidang media di Menara Jland, Johor Bahru pada Rabu (26 Feb).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif RTSO, Dr. Ahmad Marzuki Ariffin, kerja-kerja pemasangan trek landasan telah dimulakan pada bulan September tahun lalu, bermula dari Depoh Wadi Hana.

"Jajaran landasan sepanjang kira-kira 5.3 kilometer bermula dari depo ini menghubungkan terus ke laluan utama di Stesen Bukit Chagar, jejambat landasan, dan bersambung hingga ke Stesen Woodlands North," jelas Dr. Ahmad Marzuki.

Bangunan Depoh Wadi Hana setinggi tiga tingkat itu merangkumi tujuh trek landasan, pejabat, dan tempat penyimpanan peralatan ganti untuk kereta api dan trek.

Apabila beroperasi kelak, kerja-kerja penyelenggaraan ringan dan berat akan dilakukan di situ dan dipantau oleh sekitar 200 pekerja setiap hari.

Dr Marzuki berkata: "Fokus kami adalah untuk menyiapkan kesediaan operasi dan untuk menyiapkan projek mengikut jadual. Ini bagi memberikan pengalaman perjalanan yang selamat pada masa depan, cekap dan bertaraf dunia."

"Hasrat kami untuk menyediakan kemudahan pengangkutan yang boleh dipercayai dan boleh mengurangkan kesesakan di Koswe serta meningkatkan saling hubungan rentas sempadan," tambah beliau.

Apabila siap nanti, setiap kereta api RTS akan dapat menampung sehingga 10,000 penumpang setiap jam pada kapasiti penuh.

Pihak RTSO mendedahkan bahawa kereta api RTS akan beroperasi setiap 3.6 minit pada waktu puncak.

KERJA-KERJA LANDASAN DARI DEPOH WADI HANA DI JOHOR BAHRU CAPAI TAHAP KEMAJUAN 50 PERATUS

Pemasangan landasan dari Depo Wadi Hana di Johor Bahru telah mencapai kemajuan lebih 65 peratus.

Skop pemasangan meliputi penggalas landasan, rel, serta kerja mencantum kedua-dua komponen tersebut menggunakan klip pengikat.

Pihak RTSO menjangkakan kerja landasan dapat diteruskan ke arah Stesen Woodlands North di Singapura dan dijadualkan siap pada bulan Julai nanti.

Selain itu, kerja-kerja berkaitan sistem akan dijalankan secara berperingkat dengan pemasangan komponen pembekal kuasa landasan, sistem isyarat, dan komunikasi akan bermula bulan depan.

"Fokus utama kami dalam beberapa bulan akan datang adalah pada sistem utama seperti kerja landasan, kereta api, pembekal kuasa landasan, persepaduan sistem isyarat dan sistem kawalan. Keselamatan sentiasa menjadi keutamaan dan kami bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan untuk mencapai visi sifar kemalangan," kata Pengarah Projek, RTSO, Encik Zahrin Abdul Gani.

Beliau menambah bahawa kerja-kerja sistem rel, yang juga merangkumi ujian dan integrasi, dijangka dipertingkatkan dalam beberapa bulan akan datang dan memuncak menjelang suku ketiga 2026.

Selepas itu, operasi percubaan akan dijalankan dengan sasaran untuk memulakan perkhidmatan penumpang pada akhir 2026 seperti yang dijadualkan.
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan