Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kerja-kerja pelihara, pulihara flora asli Koridor Kereta Api dijalankan

Selama bertahun-tahun lamanya, magnolia singapurensis, satu spesies tumbuh-tumbuhan yang dinamakan sempena negara ini, dianggap sudah pupus.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 20 Oct 2018 06:37PM Dikemas Kini : 20 Oct 2018 10:20PM

SINGAPURA: Selama bertahun-tahun lamanya, magnolia singapurensis, satu spesies tumbuh-tumbuhan yang dinamakan sempena negara ini, dianggap sudah pupus.

Namun, beberapa tahun lalu, para pegawai Lembaga Taman Negara (NParks) menemui bunga itu tumbuh dekat sebuah kawasan paya di Nee Soon.

Pasukan itu berulang-alik ke kawasan paya tersebut untuk mengambil biji benih bunga berkenaan, membawanya ke tapak semaian untuk ditanam, dan mengkaji cara terbaik menanam spesies itu di tempat lain, kata Pengarah Hutan Simpanan Tengah di NParks.

Hari ini (20 Okt), spesies tempatan itu buat pertama kalinya ditanam di tapak lain di Singapura.

Majlis menanam spesies itu, yang dihadiri Menteri Kedua Pembangunan Negara Desmond Lee dan para penasihat dari GRC Holland-Bukit Timah, menandakan fasa pertama kerja-kerja NParks untuk memperkenalkan semula tumbuh-tumbuhan asli di sepanjang kawasan Koridor Kereta Api.

Para pencinta alam, penyelidik dan anggota masyarakat di kawasan berdekatan turut diundang ke majlis tersebut.

Tapak Koridor Kereta Api sepanjang 24 kilometer itu pertama kali dibina pada awal tahun-tahun 1900an, sebagai sebahagian daripada rangkaian kereta api KTM pada zaman penjajahan.

Kerja-kerja untuk memperkenalkan semula tumbuh-tumbuhan asli itu bermula di bahagian tengah Koridor Kereta Api - laluan sepanjang 4 kilometer antara kawasan Hillview dan bekas tapak stesen kereta api Bukit Timah, berhampiran stesen MRT King Albert.

Kawasan itu dijadikan zon penimbal antara Hutan Simpanan Bukit Timah dengan kawasan bandar, menurut NParks.

NParks dalam proses mengalihkan tumbuh-tumbuhan dari luar negara yang ditanam semasa kerja-kerja pembangunan kereta api tersebut bagi membuka laluan untuk menanam spesies-spesies asli dalam usaha memuliharanya.

Sebatang anak sungai dihasilkan menggunakan konkrit, yang dahulunya sistem saliran bagi landasan-landasan kereta api turut dipertingkat, dengan harapan dapat menarik hidupan liar untuk kembali ke kawasan itu.

NParks menyatakan memerang-memerang sudah dikesan bermain di sungai tersebut. Ia berharap burung ruak-ruak juga akan mendatangi sungai itu.

Bagi menggalak orang ramai untuk mengunjungi Koridor Kereta Api, NParks sedang berusaha untuk merubah laluan tanah kepada dengan tumbuhan rumput dan batu-batu kerikil. Koridor Kereta Api (Tengah) akan dibina secara bertahap-tahap dan dijadualkan selesai pada Disember tahun depan.

Projek-projek prasarana pada Koridor Kereta Api dijadualkan berakhir pada awal 2021, di mana seluruh koridor itu akan dibuka kepada orang ramai.

Menurut Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA), sebatang jabanah sealiran dengan Hindhede Drive dijangka siap pada hujung tahun 2019, bagi memudahkan para pengunjung ke Hutan Simpanan Bukit Timah.

Mereka yang ingin mempelajari lebih lanjut tentang flora, fauna dan warisan Koridor Kereta Api boleh mengikuti sesi-sesi lawatan percuma yang dianjurkan sehingga hujung tahun ini. Pendaftaran bagi sesi lawatan yang diadakan antara 27 Oktober hingga 1 Disember ini, dibuka mulai esok (21 Okt), jam 10.00 pagi.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan