Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kerja-kerja naik taraf Geylang Serai belum selesai; lebih banyak akan dilakukan untuk semarakkan Jalur Budaya

Anggaran Waktu Membaca:
Kerja-kerja naik taraf Geylang Serai belum selesai; lebih banyak akan dilakukan untuk semarakkan Jalur Budaya

Gambar: Fatyn Afiqah/BERITA Mediacorp

SINGAPURA: Geylang Serai adalah tempat istimewa bagi ramai orang terutama, bagi masyarakat Melayu. Lantaran itu, Pemerintah komited untuk menyokong aspirasi dan harapan masyarakat Melayu bagi Geylang Serai.

Demikian jaminan Perdana Menteri Lawrence Wong dalam ucapannya di majlis pelancaran Gerbang Ikonik Jalur Budaya Geylang Serai pada Sabtu (7 Sep).

"Malam ini kita berkumpul untuk meraikan selesainya inisiatif-inisiatif terbaharu di Geylang Serai. Anda boleh lihat beberapa perubahan di sekeliling kita. Tetapi ada lagi yang akan datang. Kami akan pastikan Geylang Serai kekal istimewa bukan sahaja untuk masyarakat Melayu malah semua rakyat Singapura," kata PM Wong.

s
Gambar: Fatyn Afiqah/BERITA Mediacorp

Beliau menambah Geylang Serai adalah sebuah kawasan yang kaya dengan sejarah dan istimewa di hati masyarakat Melayu Singapura.

Ia merupakan salah satu penempatan Melayu tertua di Singapura dengan sejarahnya bermula pada tahun 1840-an, apabila orang laut mula menetap di sepanjang tebing Sungai Geylang.

Kawasan itu terkenal sebagai "emporium Melayu" Singapura, yang menarik para pelancong dari rantau ini, termasuk Brunei, Indonesia, dan Malaysia.

Geylang Serai bukan sahaja menjadi pusat aktiviti perdagangan dan budaya Melayu, tetapi juga menjadi simbol penting dalam identiti Melayu Singapura.

Seiring dengan pembangunan Singapura, Geylang Serai juga mengalami transformasi yang besar.

Pada tahun 1963, Skim Pembangunan Perumahan Geylang Serai dilancarkan untuk mengubah kawasan ini menjadi sebuah kawasan perumahan moden.

Penduduk kampung Melayu asal dipindahkan ke kawasan HDB di merata negara, yang seterusnya meningkatkan taraf hidup dan keadaan perumahan mereka.

Pasar Geylang Serai, yang dibuka pada tahun 1964, beberapa kali dinaik taraf sepanjang tahun dan ia terus menjadi pusat aktiviti utama di kawasan tersebut, berfungsi sebagai nadi perniagaan dan masyarakat.

Encik Wong berkata, tidak seperti dahulu Geylang Serai kini sebuah masyarakat yang cukup bersepadu yang jelas mencerminkan masyarakat berbilang kaum dan agama. Namun, beliau menambah, "Geylang Serai masih mengekalkan keunikan dan identiti budayanya".

Pemerintah terus komited untuk memastikan Geylang Serai menggabungkan yang terbaik dari segi elemen baharu dan lama (dan) menjadi sebuah kawasan yang bertenaga dengan kemudahan-kemudahan moden, di samping mengekalkan warisan Melayu, ujar Encik Wong.

Untuk mencapai matlamat ini, Wisma Geylang Serai dibangunkan sebagai mercu tanda utama dan pusat tumpuan kawasan tersebut.

Dengan itu, Wisma Geylang Serai menjadi nadi kawasan ini, berfungsi sebagai pusat sivik, pusat perkhidmatan sehenti untuk komuniti Melayu/Muslim, serta untuk masyarakat yang lebih luas.

Selain dari Wisma Geylang Serai, projek Jalur Budaya Geylang Serai dilancarkan untuk menyuntik kesegaran kepada kawasan tersebut namun tetap mengekalkan ciri uniknya.

Inisiatif utama pertamanya adalah, Anjung@WGS, yang siap dua tahun lalu.

Anjung@WGS menjadi ruang yang popular untuk pelbagai jenis aktiviti, daripada majlis perkahwinan hingga acara sukan dan persembahan budaya Melayu.

"Hari ini, kita meraikan inisiatif terbaharu untuk Jalur Budaya Geylang Serai yang sudah siap dibina. Anda boleh melihat peningkatan di sekeliling kita – di sini, di Kompleks Joo Chiat; di seberang jalan, di Pasar Geylang Serai; dan di belakang saya, di mana terdapat Gerbang Ikonik yang reka bentuknya mengingatkan kita kepada bumbung bertingkat seni bina Melayu tradisional, serta persimpangan jalan yang baru dicat, sebagai penanda identiti kawasan ini.

s
PM Wong mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat termasuk Dr Mohamad Maliki Osman, yang menyelia projek ini sejak pelancarannya.

"Kami belum selesai dengan penambahbaikan untuk Geylang Serai. Jalur Budaya ini merentasi kawasan dari Kompleks Tanjong Katong hingga ke Kelab Masyarakat Kampong Ubi. Kami sudah memulakan inisiatif untuk menyuntik kesegaran pada kawasan utama Jalur Budaya ini, di mana kita berada sekarang.

"Namun, di timur dan barat, masih banyak kemungkinan untuk kami hidupkan Jalur Budaya ini – bukan sahaja sebagai kawasan kejiranan moden dan dinamik, tetapi juga yang terus memelihara warisan dan budaya Melayu," dedah PM Wong.

Namun kejayaan rancangan itu bergantung kepada sokongan dan penyertaan semua rakyat Singapura.

Peningkatan kawasan itu bukan sekadar mengenai pembangunan infrastruktur.

"Kami memerlukan penyertaan aktif anda semua – untuk menjadikan kawasan ini bertenaga - kawasan yang meraikan budaya dan warisan Melayu kita, dan juga menyatukan pelbagai masyarakat dalam semangat inklusiviti dan perpaduan. Bersama-sama, kita boleh menjadikan Geylang Serai sebagai bukti hidup warisan budaya kita, dan tempat yang boleh dibanggakan oleh semua rakyat Singapura!"
 
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan