Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kerja-kerja naik taraf Geylang Serai bakal mula suku kedua tahun ini

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Kerja-kerja peningkatan di bawah projek Jalur Budaya Geylang Serai akan bermula pada suku kedua tahun ini dan dijangka selesai pada suku kedua tahun 2024.

Kerja-kerja peningkatan itu akan dijalankan di tiga kawasan iaitu di luar Joo Chiat Complex, luar Pasar Geylang Serai dan persimpangan ikonik di kawasan berkenaan.

Demikian diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa yang menerajui projek Jalur Budaya Geylang Serai, Dr Mohamad Maliki Osman dalam satu sidang media di Wisma Geylang Serai pada Rabu (8 Mac).

Apabila siap kelak, akan terdapat laluan berbasikal, kawasan berteduh dan rehat serta gerbang baru di Geylang Road berhadapan dengan bangunan WGS.

Pencahayaan lampu juga akan menghidupkan lagi kawasan itu serta beberapa perubahan pada bahagian luar Joo Chiat Complex.

Dr Maliki menekankan bahawa kerja-kerja naik taraf besar-besaran itu lebih daripada sekadar peningkatan fizikal, sebaliknya ia melibatkan rancangan program-program yang dinamik.

--

Langkah itu, menurut Dr Maliki, sama seperti yang diambil sebelum ini untuk membangunkan Anjung@WGS.

Katanya, Anjung@WGS memberi ruang baru kepada masyarakat untuk terus menyemarakkan budaya serta anjurkan kegiatan-kegiatan Melayu di samping menarik lebih ramai golongan muda untuk mengunjunginya.

Dalam pada itu, beliau berkata bahawa Jalur Budaya Geylang Serai juga akan memberi peluang kepada masyarakat yang bukan Melayu menghargai budaya serta latar belakang sejarah Melayu.

"Kita mahu Jalur Budaya Geylang Serai ini menjadi satu kebanggaan semua rakyat Singapura bukan saja masyarakat Melayu tapi juga masyarakat bukan Melayu. Apa yang kami harapkan ialah setiap rakyat Singapura apabila mereka mempunyai rakan-rakan dari luar negara, akan membawa mereka ke Jalur Budaya Geylang Serai ini untuk menikmati suasana dan juga budaya Melayu kita. Kami harap ini akan dapat terus mengeratkan hubungan antara masyarakat Melayu dan bukan Melayu di Singapura," ujar Dr Maliki.

Lantas, untuk memastikan kejayaan projek itu, pihak berkepentingan dan Persatuan Rakyat juga telah mendampingi masyarakat bagi mendapatkan maklum balas bagi projek Jalur Budaya Geylang Serai itu.

Selain itu, lebih banyak program menarik seperti pertandingan-pertandingan adu bakat seperti Suara WGS dan pameran-pameran kesenian serta persembahan budaya akan turut dianjurkan.

Dr Maliki juga berharap para peniaga dapat menyesuaikan diri dengan keadaan semasa bagi menari lebih ramai pelanggan.

"Kita akur bahawa masyarakat Melayu kita juga akan berubah dari segi keperluan mereka dan saya rasa yang penting adalah para peniaga kita memahami akan perubahan ini. Jika mereka ingin terus menarik lebih ramai lagi pelanggan, mereka harus lebih berupaya menyesuaikan diri mereka dan menyesuaikan cara mereka beroperasi."

Sebelum ini, WGS mencipta rekod baru dengan menghasilkan lukisan barik sepanjang 550 meter bagi menghiasi kawasan itu.

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan