Skip to main content

Singapura

Kerja-kerja naik taraf dirancang di Waterloo Street bagi tingkatkan akses pejalan kaki, suntik lebih kesegaran

Waterloo Street akan menjalani kerja-kerja penambahbaikan bertujuan mempertingkatkan kemudahan pejalan kaki di kawasan itu serta menyuntik kesegaran di kawasan Bras Basah.Bugis.
Anggaran Waktu Membaca:
Kerja-kerja naik taraf dirancang di Waterloo Street bagi tingkatkan akses pejalan kaki, suntik lebih kesegaran
Ilustrasi artis yang menggambarkan kerja-kerja naik taraf yang akan dilakukan di Waterloo Street. (Gambar: URA)
Diterbitkan : 11 Dec 2025 05:43PM
SINGAPURA: Waterloo Street akan menjalani kerja-kerja penambahbaikan bertujuan mempertingkatkan kemudahan pejalan kaki di kawasan itu serta menyuntik kesegaran di kawasan Bras Basah.Bugis.

Kerja-kerja itu yang dijangka siap menjelang 2027, merangkumi laluan pejalan kaki yang lebih luas dan dibarisi pokok, sambungan pejalan kaki berbumbung dan ruang awam bagi aktiviti sementara, menurut Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dalam kertas fakta media pada Khamis (11 Dis).

URA sudah membuka tender bagi melantik kontraktor untuk projek tersebut.

Sebagai sebahagian daripada usaha untuk memudahkan pejalan kaki, tempat letak kereta di tepi jalan akan ditutup dan laluan pejalan kaki akan diperluaskan di sepanjang Waterloo Street antara Middle Road dengan Bras Basah Road.

Landskap jalan juga akan dipertingkat dengan lebih banyak pokok diletakkan bagi menyediakan tempat berteduh tambahan, sekali gus mewujudkan sekitaran yang lebih mesra pejalan kaki, menurut URA.

Satu laluan pejalan kaki baharu juga akan dibina di sepanjang Waterloo Link dan sebuah lagi laluan berbumbung merentasi Waterloo Street akan menyediakan lebih banyak sambungan pejalan kaki antara Waterloo Street, Bencoolen Street dan Queen Street, dan seterusnya ke stesen MRT Bencoolen dan Bras Basah.

Laluan pejalan kaki lebih luas itu seterusnya akan menyediakan sedikit ruang awam untuk mengadakan acara-acara luar bangunan dan aktiviti-aktiviti masyarakat.

Bekalan air dan titik kuasa elektrik juga akan dipasang di sepanjang Waterloo Street bagi menyokong acara dan kegiatan awam, dalam respons kepada cadangan daripada kumpulan seni semasa sesi pendampingan URA mengenai projek tersebut, menurut URA.

Cik Indranee Rajah, yang merupakan Menteri Kedua Pembangunan Negara berkata dalam catatan Facebook pada Khamis bahawa kerja-kerja penambahbaikan itu adalah "sebahagian daripada usaha berterusan untuk menyegarkan semula kawasan Bras Basah.Bugis dan mengukuhkan identitinya sebagai hab kreatif bagi seni, budaya dan pendidikan".

"Kami mengumpulkan idea dan maklum balas daripada pihak berkepentingan dan orang awam, yang menginginkan landskap jalan yang lebih mudah untuk diakses dan lebih menarik," katanya.

Pelan yang diusulkan pernah dipamerkan dalam satu pameran awam di Waterloo Centre pada 2021, pameran Pelan Induk Rekreasi pada 2024 dan pameran Draf Pelan Induk pada 2025, menurut URA.

Usaha-usaha itu juga mengukuhkan Pelan Induk URA 2025, yang memberi tumpuan kepada penyegaran semula pusat bandar dan "mengukuhkan peranannya sebagai sebuah destinasi inklusif bagi perniagaan, pelancongan dan budaya, menghimpunkan orang ramai daripada setiap lapisan masyarakat", ia menambah.

Kerja-kerja penambahbaikan di Waterloo Street merupakan lanjutan kepada siri-siri projek peningkatan di kawasan Bras Basah.Bugis untuk meningkatkan pengalaman pejalan kaki, menurut URA.

Ini termasuk pembinaan laluan pejalan kaki yang lebih luas dan berlandskap di Queen Street, Bencoolen Street dan Coleman Street, serta pembinaan laluan pejalan kaki di Armenian Street, menjadikan kawasan itu lokasi utama bagi pelbagai acara dan aktiviti masyarakat.

Selain itu, URA menyatakan kerja-kerja peningkatan itu akan melengkapi usaha untuk membentuk kawasan seni dan budaya yang lebih luas dengan Civic District dan Fort Canning yang berhampiran.

Satu laluan berbasikal baharu juga siap dibina di kawasan itu pada bulan lalu, iaitu di sepanjang Bencoolen Street antara Rochor Road dengan Middle Road.

Ia melengkapi laluan berbasikal sepanjang Bencoolen Street dan menyediakan laluan langsung untuk berbasikal dari Bras Basah.Bugis ke Civic District.

URA menyatakan kerja-kerja penambahbaikan jalan di kawasan Bras Basah.Bugis akan menawarkan "lebih banyak peluang kepada pihak berkepentingan untuk mengambil bahagian secara lebih aktif dalam usaha-usaha mendefinisikan ruang (placemaking)".

URA menambah usaha sedemikian akan melengkapi kalendar acara tahunan kawasan tersebut, yang merangkumi Minggu Reka Bentuk Singapura yang dianjurkan oleh Majlis DesignSingapore (DSG), Pesta Seni SMU oleh Universiti Pengurusan Singapura (SMU) dan Pesta Malam Singapura oleh HeritageSG.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita