Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kerja-kerja di Pedra Branca perlu dan 'patuh sepenuhnya' undang-undang antarabangsa, kedaulatan SG, kata MFA

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Kerja-kerja pembangunan yang dilakukan oleh Singapura di Pedra Branca "perlu untuk meningkatkan keselamatan maritim serta memperbaiki keupayaan mencari dan menyelamat di kawasan itu," kata Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan pada Isnin (27 Feb).

Kerja-kerja itu juga memastikan Pedra Branca "dilindungi secukupnya daripada ancaman kenaikan paras air laut".

Dr Balakrishnan menekankan di Parlimen bahawa kerja-kerja tersebut "mematuhi sepenuhnya" undang-undang antarabangsa dan kedaulatan Singapura ke atas pulau itu serta kawasan perairannya".

Pada Mei 2022, Singapura menggantung buat sementara kerja-kerja tersebut bagi mengadakan perbincangan dengan Malaysia dan menangani secara menyeluruh keprihatinan dan sebarang pertanyaan negara itu "dalam semangat kerjasama dan niat yang baik," kata Dr Balakrishnan.

"Pada Disember 2022, Singapura mengemukakan cadangan kepada Malaysia untuk menghuraikan isu tersebut dan meneruskan kerja-kerja pembangunan. Selepas itu, kami bersetuju dengan permintaan Malaysia supaya diberikan lebih banyak masa untuk mempertimbangkan penjelasan dan cadangan kami," tambah beliau.

Kerja-kerja pembangunan di Pedra Branca digantung buat sementara ini disebabkan musim tengkujuh.

"HUBUNGAN ERAT" DENGAN MALAYSIA

Dr Balakrishnan menegaskan lagi hubungan erat Singapura dengan Malaysia, sambil berkata ia disokong oleh "hubungan peringkat rakyat dengan rakyat yang kukuh serta pertukaran lawatan peringkat tinggi yang kerap diadakan".

Encik Anwar Ibrahim, yang menjadi Perdana Menteri ke-10 Malaysia selepas Pilihan Raya Umum ke-15 November lalu, adalah "rakan lama Singapura".

Dr Balakrishnan menambah bahawa Singapura mengalu-alukan lawatan Encik Anwar Ibrahim pada akhir Januari lalu sebagai lawatan pengenalan yang "membuahkan hasil".
 
Dr Balakrishnan juga menarik perhatian kepada projek kerjasama yang sedang dijalankan antara kedua-dua negara. Ia termasuk projek Sistem Kereta Api Laju (RTS) antara Singapura dengan Johor Bahru.

TINGKATKAN HUBUNGAN PENERBANGAN BERSAMA INDONESIA

Dr Balakrishnan pada Isnin juga menyentuh hubungan Singapura dengan negara jiran, Indonesia.

Beliau berkata baru-baru ini kedua-dua negara berjaya menyiapkan proses undang-undang dalam negeri bagi pengesahan rasmi tiga perjanjian di bawah Rangka Kerja Diperluas, iaitu perjanjian Rantau Maklumat Penerbangan (FIR), Perjanjian Kerjasama Pertahanan (DCA) dan Perjanjian Ektradisi (ET).
ASEAN, AS, HUBUNGAN SERANTAU

Mengenai usaha Singapura untuk memperdalamkan kerjasama antara ASEAN dan Amerika Syarikat (AS), serta negara-negara jiran serantau, Dr Balakrishnan berkata Singapura "sentiasa menyokong penglibatan negara-negara besar, supaya semuanya mempunyai taruhan bersama dalam keamanan, kestabilan dan pembangunan di rantau ini, dan ia akan mewujudkan keseimbangan kuasa yang stabil di rantau Asia Pasifik".

Oleh itu, Singapura "berusaha menjalin persahabatan bersama negara-negara lain" seperti yang terkandung dalam "rangka pembangunan rantau ini yang terbuka, inklusif dan berpusatkan ASEAN".

Dr Balakrishnan menarik perhatian kepada "mekanisme yang diterajui ASEAN" yang menghimpunkan kuasa besar bersama, seperti Sidang Puncak Asia Timur, Forum Serantau ASEAN, ASEAN Campur Tiga dan Sidang Puncak Campur Satu.

Mengulas masa depan Myanmar dan peranan ASEAN dalam perkara tersebut, Dr Balakrishnan berkata keadaan di negara itu kekal "buruk dan suram" dua tahun selepas rampasan berlaku kuasa.

“Singapura dan ASEAN amat kecewa dengan kurangnya kemajuan dalam pelaksanaan Konsensus Lima Perkara. Kami tidak akan campur tangan dalam politik dalam negeri di Myanmar,” katanya.

“Tetapi penyelesaian harus melibatkan perdamaian nasional dalam kalangan semua pihak yang mempunyai kepentingan di sana. Ini tidak akan mudah dicapai.”
Sumber : CNA/AE/ae

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan