Kerja gali terowong Fasa 2 Sistem Pembentungan Terowong Dalam dijadual bermula tidak lama lagi
Para penduduk di bahagian barat Singapura boleh menjangkakan sedikit gegaran dan bunyi kerja-kerja penggalian, sedang PUB memasuki fasa kedua bagi kerja-kerja binaan yang disifatkan oleh agensi air negara itu sebagai lebuh raya atau 'superhighway' bagi air terpakai pada masa akan datang.
SINGAPURA: Para penduduk di bahagian barat Singapura tidak lama lagi boleh menjangkakan sedikit gegaran dan bunyi kerja-kerja penggalian, sedang PUB memasuki fasa kedua bagi kerja-kerja binaan yang disifatkan oleh agensi air negara itu sebagai lebuh raya atau 'superhighway' bagi air terpakai pada masa akan datang.
Apabila siap kelak, Sistem Pembetungan Terowong Dalam (DTSS) akan mengumpul dan menyalurkan air dari seluruh Singapura ke tiga loji pemulihan air di Changi, Kranji dan tidak lama lagi Tuas. Ia adalah sebahagian daripada usaha Singapura untuk menjadi lebih berdikari dan tidak bergantung kepada mana-mana pihak bagi memenuhi keperluan air negara ini.
Bercakap di akhir taklimat media pada Rabu (3 Apr), pengarah DTSS Fasa 2 Yong Wei Hin berkata bahawa DTSS, yang dijadual siap pada 2025, akan menyokong 55 peratus daripada keperluan air Singapura dalam jangka panjang melalui NEWater (AirBaru).
Loji Changi dan Kranji sudah dihubungkan sejak 2008 sebagai sebahagian daripada Fasa 1. Apabila loji Tuas beroperasi sepenuhnya pada 2027, ia juga akan dihubungkan sebagai sebahagian Fasa 2.
Fasa 2, yang menelan belanja S$9.4 bilion - S$2.9 bilion lebih tinggi berbanding fasa pertama yang memerlukan S$6.5 bilion - akan menghubungkan Marina Bay dengan Tuas.
Ia melibatkan pembinaan rangkaian terowong dalam sepanjang 50 kilometer dan penghubung pembentung sepanjang 60 kilometer di bahagian barat Singapura.
Sebanyak 19 mesin penggali terowong (TBM) akan digunakan dalam usaha ini, seganda lebih tinggi berbanding fasa pertama. Dua jenis mesin penggali diperlukan disebabkan keadaan tanah yang berbeza-beza di kawasan tersebut.
Menurut ketua jurutera Fasa 2 DTSS Woo Lai Lee, penggunaan lebih banyak TBM akan memastikan Fasa 2 selesai mengikut jadual.
Loji pemulihan yang sedia ada di Ulu Pandan dan Jurong serta stesen-stesen pam akan ditutup. Ini akan membolehkan bidang tanah seluas 214 padang bola digunakan untuk pembangunan, menurut PUB.
CIRI BARU ATASI CABARAN MENGGALI
Satu lagi isu yang dihadapi FAsa 2 adalah penggalian di bawah kawasan perindustrian.
Menurut Cik Woo, PUB juga perlu menangani lebih banyak prasarana yang mungkin menghambat kerja-kerja penggalian bagi Fasa 2 berbanding Fasa 1.
"Laluan bawah tanah lebih sesak sekarang. Ada lebih banyak terowong MRT dan terowong kabel yang perlu dielakkan," kata Cik Woo.
Lantaran itu, PUB akan memanfaatkan teknologi bijak dalam fasa ini, tambah beliau.
PUB juga akan menjadi agensi pertama di Asia yang akan menggunakan 'Vertical Shaft Sinking Machine' (VSM), yang boleh menggali tanah sambil membina tembok secara serentak di tapak binaan bawah tanah.
Satu lagi ciri baru Fasa 2 adalah gerbang pengasingan,yang melencongkan penyaluran air bagi membolehkan bahagian-bahagian tertentu terowong diasingkan untuk tujuan pemeriksaan dan penyenggaraan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.