Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kerja gali terowong Circle Line 6 selesai, 3 stesen baru mula dibuka 2026

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kerja menggali terowong bahagian terakhir laluan MRT Circle Line 6 (CCL 6), selesai dilakukan pada Rabu (12 Jan).

Bahagian itu menghubungkan laluan antara Stesen HarbourFront dengan Stesen Marina Bay dan mempunyai tiga stesen bawah tanah iaitu Keppel, Cantonment dan Prince Edward Road.

Ini bermakna penumpang dapat menggunakan khidmat laluan langsung dari Telok Blangah ke Marina Bay, menjimatkan masa perjalanan sekitar 10 minit.

Bahagian terakhir CCL 6 itu akan mula dibuka pada tahun 2026, setahun lambat daripada jadual asalnya.

Ia akan memudahkan akses ke kawasan seperti Spottiswoode, Keppel Road dan bahagian pinggir selatan daerah pusat bandar (CBD).

Secara keseluruhannya Laluan Circle Line akan mempunyai 33 stesen termasuk 12 stesen pertukaran yang menghubungkannya dengan laluan-laluan MRT yang lain.

Kerja-kerja mengali terowong  CCL6 bermula pada Ogos 2019, dengan laluan pertama antara stesen Keppel dan HarbourFront siap pada Ogos 2020. Kerja-kerja menggali terowong antara stesen Keppel dan Cantonment kemudiannya selesai pada Julai 2021.

Dan pada Rabu, kerja-kerja menggali terowong dari Prince Edward Road ke stesen Cantonment selesai, bermakna 55 peratus kerja pembinaan sudah siap.

Kerja-kerja sambungan struktur seterusnya akan dijalankan, diikuti dengan pemasangan peralatan berkaitan landasan serta perkhidmatan elektrik dan mekanikal dan sistem.

Menteri Pengangkutan S Iswaran berkata selesainya bahagian terakhir kerja-kerja menggali terowong itu merupakan "pencapaian penting", di tengah-tengah "pelbagai cabaran" yang terpaksa diharungi.

Sebahagiannya disebabkan gangguan akibat pandemik COVID-19, tetapi terdapat juga cabaran kejuruteraan.

"Kerja-kerja menggali terowong itu terpaksa dilakukan di bawah bangunan warisan berdekatan dengan asas bangunan komersil dan stesen MRT lain. Oleh itu, terdapat cabaran kejuruteraan penting yang juga perlu diatasi," katanya.

Sebagai contoh, terowong antara Prince Edward Road dan stesen Cantonment melintasi bekas bangunan Stesen Kereta Api Tanjong Pagar - sebuah monumen negara yang diwartakan.

Memandangkan kerja-kerja itu dilakukan hanya 6.7 meter di bawah cerucuk bangunan, langkah perlindungan tambahan perlu dilaksanakan sebelum kerja terowong dimulakan, kata Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dalam satu kenyataan media. 

Lebih 600 instrumen pemantauan turut dipasang untuk mengesan sebarang pergerakan bangunan semasa kerja-kerja menggali terowong, tambah LTA.

Pun begitu, CCL6 ialah "peningkatan ketara bagi penumpang", kata Encik Iswaran, sambil menambah bahawa ia adalah "tambahan penting kepada daya tahan keseluruhan sistem MRT Singapura".

Sumber : CNA/SU/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan