Kerja dari rumah di JB: Segelintir warga S'pura pindah Johor susuli pembukaan semula sempadan
Trak-trak beratur menanti giliran untuk masuk kembali ke Johor melalui Koswe selepas selesai melakukan penghantaran di Singapura pada 11 Nov 2021. (Gambar: Roslan Rahman/AFP)
JOHOR BAHRU: Apabila Cik Jasmine Loh diberhentikan daripada pekerjaannya dalam sektor perhubungan pada 2021 di tengah-tengah pandemik COVID-19, warga Singapura berusia 32 tahun itu membuat keputusan bahawa beliau ingin membuat dua perubahan kepada kehidupannya.
Yang pertama, Cik Loh ingin mencari pekerjaan lain yang akan membenarkan beliau bekerja dari rumah pada kebanyakan masa. Perubahan yang kedua pula adalah untuk berpindah ke Johor Bahru apabila pintu sempadan dibuka semula, untuk mengurangkan perbelanjaannya.
Dalam masa setahun, Cik Loh berjaya melakukan kedua-dua perubahan tersebut.
Pada November 2021, beliau mendapat tawaran sebagai pengurus projek rundingan sepenuh masa di bawah sebuah syarikat berdaftar Singapura dengan aturan kerja dari rumah.
Sebulan selepas itu, Cik Loh berpindah ke Johor Bahru melalui Laluan Perjalanan Penumpang Sudah Divaksin (VTL) Darat dan menyewa sebuah apartmen berdekatan pusat bandar itu.
"Syarikat saya tiada pejabat, jadi ia masuk akal untuk saya bekerja dari Johor Bahru walaupun saya pekerja syarikat Singapura," kata Cik Loh.
"Majikan saya tidak peduli saya berpangkalan di luar negara kerana sesetengah rakan sekerja saya juga menetap di merata dunia. Kami adakan mesyuarat secara online setiap hari untuk bertanya khabar dan berkongsi yang terkini mengenai projek kami. Menetap di seberang Tambak tidak menimbulkan sebarang masalah sejauh ini," tambahnya.
Bekerja dari rumah menjadi pilihan yang semakin popular dalam kalangan pekerja Singapura.
Tinjauan terkini oleh agensi pengambilan pekerja, Randstad, ke atas 1,000 pekerja, mendapati bahawa 40 peratus responden berkata mereka akan menolak tawaran kerja jika tidak boleh bekerja dari rumah atau pada bila-bila masa yang mereka mahu.
Tambahan lagi, 77 peratus responden pula berkata mereka menghargai peluang untuk bekerja dari rumah.
"Dapatan tinjauan kami menunjukkan bahawa warga Singapura inginkan pilihan untuk bekerja secara fleksibel kerana ia membenarkan mereka untuk mengatur jadual mereka sendiri.
"Apabila bekerja dari rumah, bukan sahaja mereka kurang terganggu untuk melaksanakan tanggungjawab kerja, pekerja juga boleh meluangkan lebih masa bersama keluarga dan melakukan kerja rumah," kata Pengarah Urusan Randstad Singapura dan Malaysia, Cik Jaya Dass.
Bagi mereka yang boleh bekerja dari rumah, menetap di Johor Bahru adalah "keputusan yang paling masuk akal", kata Encik Azhar Yusof, 58 tahun.
Jurutera IT itu dan isterinya berpindah ke Johor Bahru awal tahun ini setelah membeli rumah persaraan dekat Nusajaya.
Walaupun isterinya sudah bersara, Encik Azhar bekerja dari rumah.
"Saya menghubungi klien dan rakan kerja menerusi panggilan video online. Bukan satu masalah bagi saya," katanya.
"Saya berterima kasih kerana bos saya boleh bertolak ansur. Selagi saya menyiapkan kerja saya, beliau tidak kisah jika saya berpangkalan di Johor atau mana-mana sahaja," tambah Encik Azhar.
KOS LEBIH RENDAH PERBELANJAAN SATU TARIKAN HEBAT
Salah satu punca utama yang menggerak hati warga Singapura untuk berpindah ke Johor Bahru adalah kos perumahan, barangan masak dan barang-barang lain yang lebih rendah.
"Bukan semuanya lebih murah di Johor Bahru berbanding di Singapura. Tetapi bagi kebanyakan barangan, kami boleh berjimat sedikit," kata Encik Azhar.
Beliau menganggarkan bahawa barangan dapur di Johor Bahru lazimnya 50 peratus lebih murah berbanding di Singapura.
"Adalah penjimatan. Kami membeli barangan masak di tempat-tempat di mana ramai penduduk tempatan pergi. Makanannya segar dan murah," tambahnya.
Kata Encik Azhar, ia lebih munasabah untuk menetap di Johor Bahru dengan adanya kadar pertukaran yang menguntungkan.
Pada awal Ogos, Ringgit jatuh ke paras rekod terendah berbanding dolar Singapura, dengan RM 3.2410, menurut laporan The Edge.
"Gaji saya dalam dolar Singapura dan saya kebanyakannya berbebelanja menggunakan Ringgit. Ini adalah perkara yang baik," ujar Encik Azhar.
KETERSAMBUNGAN INTERNET YANG AGAK BAIK, DEKAT DENGAN S'PURA
Ketersambungan internet penting bagi mereka yang bekerja dari rumah dan para pekerja yang ditemui Mediacorp berasa yakin dengan prasarana di negeri selatan Malaysia itu.
"Kebanyakan masanya, panggilan video dibuat secara online dan ketersambungan internet tidak menyebabkan sebarang masalah bagi saya. Ia berjalan dengan baik."
Pada bulan lalu, Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi dalam catatannya di Facebook berkata, kerajaan negeri dan persekutuan sedang dalam proses melancarkan khidmat 5G di kawasan Besar Johor Bahru.
Encik Azhar berkata, tambahan 5G itu akan membolehnya untuk bekerja dengan lebih cekap lagi.
"Saya rasa berbanding dengan kawasan lain di Malaysia, tahap ketersambungan di Johor Bahru agak baik. Saya dapat beroperasi pada tahap yang sama dengan jika saya berada di Singapura," ujarnya.
Jarak dekat antara Johor Bahru dengan Singapura juga satu perkara yang baik, kata Cik Loh.
Beliau pulang ke Singapura satu atau dua kali sebulan untuk bekerja dengan rakan sekerjanya di sebuah tempat bekerja bersama.
"Jarak saya dengan tempat kerja saya hanya 30 hingga 45 minit jika saya perlu ke Singapura atas sebab kerja. Walaupun kami lazimnya bekerja secara online, ia penting untuk bertemu satu sama lain secara fizikal juga," kata Cik Loh.
"Saya tidak perlu membeli tiket kapal terbang atau memandu berjam-jam lamanya semata-mata untuk pulang ke Singapura," tambahnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.