Skip to main content

Singapura

Kerja binaan Stesen MRT Brickland di Laluan Utara-Selatan bermula 2026

Anggaran Waktu Membaca:
Kerja binaan Stesen MRT Brickland di Laluan Utara-Selatan bermula 2026
Gambaran pelukis stesen NS3A di persimpangan antara Bukit Batok West Avenue 5 dengan Bukit Batok Road. (Gambar: LTA)
SINGAPURA: Kerja-kerja binaan bagi Stesen MRT Brickland yang baharu dijangka bermula pada separuh pertama 2026, dengan perkhidmatan penumpang disasarkan bermula pada 2034, kata Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Selasa (30 Dis).

LTA menyatakan demikian semasa mengumumkan bahawa ia memberi kontrak kerja awam bernilai S$281 juta bagi reka bentuk dan pembinaan stesen tersebut, yang juga dikenali sebagai stesen NS3A, serta sebuah jejambat di Laluan Utara-Selatan kepada Obayashi Corporation, menurut kenyataan medianya.

Penguasa itu menyatakan Obayashi Corporation mempunyai “rekod prestasi yang kukuh dalam projek prasarana termasuk stesen dan terowong rel, baik di dalam mahupun luar negara”.

Ia menarik perhatian bahawa syarikat tersebut kini terlibat dalam projek Laluan Rentas Pulau Fasa 2 di bawah usaha sama, termasuk reka bentuk dan pembinaan Stesen MRT Turf City serta terowongnya.

Stesen NS3A akan ditempatkan antara stesen MRT Choa Chu Kang dan Bukit Gombak di Laluan Utara-Selatan.

Sebelum ini, ia dilaporkan bahawa pembinaan stesen itu akan bermula pada 2024.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, jurucakap LTA berkata kerja-kerja awal untuk persiapan pembinaan, seperti pengalihan keperluan perbekalan, sudah bermula pada Mac 2024.

“Kerja-kerja awam utama, yang diliputi di bawah kontrak terbaharu ini, dijangka bermula pada separuh pertama 2026.

"Stesen NS3A disasarkan siap pada 2034, seperti yang diumumkan sebelum ini,” kata jurucakap tersebut.

Apabila siap kelak, stesen itu akan menyediakan khidmat kepada bangunan perumahan di estet Keat Hong, Bukit Batok West, estet Pavilion Park serta daerah Brickland di Tengah.

Ia juga akan menawarkan khidmat kepada institusi-institusi pendidikan seperti ITE Kolej Barat, Sekolah Menengah Swiss Cottage dan Sekolah Rendah St Anthony dengan menyediakan akses yang lebih langsung kepada rangkaian rel, kata LTA.

Stesen NS3A adalah stesen MRT ketiga yang dibina di atas laluan rel bertingkat sedia ada, selepas Stesen Canberra di Laluan Utara-Selatan dan Stesen Dover di Laluan Timur-Barat.

LTA menyatakan bahawa “kerja-kerja kejuruteraan” diperlukan bagi penambahan stesen baharu ini ke dalam rangkaian MRT sedia ada.

Ini termasuk pembinaan jejambat baharu yang akan memudahkan lencongan khidmat MRT secara berperingkat daripada jejambat sedia ada.

Langkah ini akan membolehkan kerja-kerja pengubahsuaian dijalankan dengan selamat ke atas prasarana dan sistem rel sedia ada, sambil membolehkan perkhidmatan MRT di Laluan Utara-Selatan diteruskan sepanjang tempoh kerja-kerja binaan.

Landasan silang baharu juga akan dipasang antara landasan sedia ada dan landasan baharu, menurut LTA, selain penambahan landasan sisi baharu - iaitu landasan MRT pendek di sebelah landasan utama - yang boleh digunakan sekiranya berlaku kerosakan MRT.

Sebuah struktur perlindungan sementara juga akan dipasang di atas beberapa bahagian landasan Laluan Utara-Selatan semasa kerja-kerja binaan dijalankan.

Sebahagian kerja juga akan dijalankan pada sebelah malam selepas waktu operasi MRT bagi menjaga keselamatan penumpang.

“Semasa pembinaannya, LTA dan kontraktor yang dilantik akan berinteraksi dengan penduduk serta pihak berkepentingan yang relevan, dan akan menyediakan maklumat terkini secara berkala mengenai kemajuan kerja-kerja tersebut,” kata LTA.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada penumpang dan penduduk atas pemahaman dan kesabaran mereka sepanjang kerja-kerja yang sedang dijalankan ini, sambil kami terus memperluaskan rangkaian MRT demi manfaat penumpang.”
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita