Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kerja binaan stesen Elias di Lanjutan Laluan Rentas Pulau-Punggol bermula suku kedua 2023

Kerja-kerja binaan stesen Elias dan terowong di Lanjutan Laluan Rentas Pulau-Punggol (CPe) dijangka bermula pada suku kedua 2023, dengan khidmat kereta api bermula pada 2032, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Isnin (30 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kerja-kerja binaan stesen Elias dan terowong di Lanjutan Laluan Rentas Pulau-Punggol (CPe) dijangka bermula pada suku kedua 2023, dengan khidmat kereta api bermula pada 2032, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Isnin (30 Jan).

Laluan CPe sepanjang 7.3 kilometer itu merangkumi empat stesen iaitu Punggol, Riviera, Elias dan Pasir Ris - yang akan "menawarkan lebih banyak ketersambungan kereta api dan akses lebih baik" bagi mereka yang tinggal di kawasan timur dan timur laut, menurut LTA dalam satu kenyataan media, sambil menambah bahawa "lebih 40,000 isi rumah dijangka meraih manfaat daripadanya".

LTA menyatakan kontrak sivil bagi reka bentuk dan pembinaan stesen Elias dan terowongnya dianugerahkan kepada kerjasama antara CES_SDC dengan Chip Eng Seng Contractors (1988).

CES_SDC sebelum ini terlibat dalam pembinaan stesen Marina South di Laluan Thomson-East Coast dan kini merupakan sebahagian daripada kerja-kerja binaan bagi dua stesen di Laluan Daerah Jurong.

"Kontrak itu yang bernilai sekitar S$562 juta, melengkapkan pelantikan kontraktor bagi keempat-empat stesen CPe,"  menurut LTA.

Stesen Elias yang terletak bawah tanah di Pasir Ris Drive, akan dibina pada kedalaman sekitar 40 meter dan menmempunyai lima tempat masuk.

Sebuah mesin pengorek terowong akan digunakan untuk membina sepasang terowong yang menghubungkan stesen Elias dengan Pasir Ris, dengan setiap satu berukuran sepanjang 1.4 kilometer dan mencecah kedalaman 50 meter bawah tanah, menurut LTA.

LTA menarik perhatian bahawa tanah di kawasan itu dipenuhi dengan aluvium lama, iaitu "bahan seperti tanah yang terdiri daripada pasir dan tanah liat berkelodak"

"LTA dan para kontraktor akan memantau kerja-kerja binaan itu dengan teliti bagi memastikan ia dilaksanakan dengan selamat dan dengan kesan minimal terhadap pihak berkepentingan," tambahnya.

Apabila stesen itu siap dibina, masa perjalanan dari Elias ke Hougang dijangka sekitar 20 minit, berbanding 40 minit sekarang, menurut LTA.

Fasa pertama kerja-kerja binaan Laluan Rentas Pulau - iaitu laluan MRT kelapan di Singapura bermula pada 18 Januari. Apabila ia beroperasi sepenuhnya, hampir separuh daripada stesen-stesen Laluan Rentas Pulau adalah stesen pertukaran.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan