Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kerja binaan Laluan Daerah Jurong bermula; dijadual dibuka sepenuhnya pada 2029

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Kerja-kerja binaan bagi laluan MRT ketujuh Singapura,
Laluan Daerah Jurong (JRL), bermula pada Jumaat (13 Jan) dengan majlis pecah tanah dan pelancaran jejambat.

Terdapat 24 stesen MRT akan di sepanjang JRL, termasuk tiga stesen pertukaran iaitu Boon Lay, Choa Chu Kang dan Jurong East.

Dijadual dibuka dalam tiga peringkat dari tahun 2027 hingga 2029, laluan itu dijangka "meningkatkan dengan ketara” ketersambungan di bahagian barat Singapura dan menyokong pembangunan di kawasan Jurong.

Demikian menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dalam satu kenyataan.

TINGKATKAN KETERSAMBUNGAN BAGI PENDUDUK

Apabila JRL dibuka sepenuhnya pada 2029, penumpang dijangka dapat menjimatkan lebih banyak masa perjalanan, menurut LTA.

Sekitar 60,000 lagi isi rumah akan berada dalam jarak 10 minit masa berjalan kaki dari stesen kereta api, kata Menteri Pengangkutan S Iswaran di majlis itu hari ini.

Beliau menambah laluan itu juga akan meningkatkan ketersambungan pengangkutan awam untuk para penduduk di bahagian barat dan barat laut negara.

"Sebagai contoh, seorang mahasiswa yang menaiki pengangkutan awam dari Choa Chu Kang ke Universiti Teknologi Nanyang (NTU) akan menyaksikan masa perjalanan yang diambilnya menjadi hampir separuh lebih singkat, daripada 60 minit kepada 35 minit," kata Encik Iswaran.

Sementara itu, perjalanan dari MRT Woodlands ke Pusat Pemeriksaan Pulau Jurong akan mengambil masa 45 minit dan bukannya sekitar 80 minit pada masa ini.

JRL juga akan menghubungkan kawasan perumahan - termasuk Gek Poh dan Pandan Gardens - dengan kawasan utama di Jurong yang buat masa ini tidak mempunyai hubungan langsung ke MRT, seperti Estet Perindustrian Jurong, Daerah Inovasi Jurong dan NTU.

PANEL SURIA DI STESEN MRT JRL

Dengan kemampanan menjadi pertimbangan utama dalam mereka bentuk laluan baru itu, semua stesen JRL akan dipasangkan dengan panel-panel suria untuk menjana tenaga yang boleh diperbaharui bagi operasi stesen, kata Encik Iswaran.

Kereta api JRL juga akan dipasangkan dengan sensor untuk memalapkan lampu secara automatik pada siang hari, tambah Encik Iswaran.

Seperti laluan-laluan MRT sedia ada yang lain, JRL akan mendakapi "sistem brek jana semula" yang menggunakan tenaga yang dihasilkan oleh kereta api semasa menghentikan kenderaan untuk menyalurkan tenaga kepada kereta api atau stesen berhampiran.

Memandangkan JRL dibina melalui koridor yang sudah padat dengan pembangunan, terdapat "cabaran yang sulit", kata Encik Iswaran.

Di stesen-stesen pertukaran Boon Lay, Choa Chu Kang dan Jurong East, sesetengah struktur stesen sedia ada akan perlu dirobohkan dan diperkukuhkan.

Sebahagian daripada jejambat JRL juga dibina atas jalan raya yang sibuk atau berhampiran dengan bangunan sedia ada seperti blok-blok HDB.

Teknologi seperti Reka Bentuk dan Pembinaan Maya digunakan untuk menyokong perancangan terperinci. Dron dan instrumen automatik, seperti pengimbas 3D, juga digunakan bagi memantau perkembangan segmen-segmen utama pembinaan laluan tersebut pada masa nyata.

“Jurutera LTA sudah melaksanakan perancangan meluas dan melancarkan beberapa langkah untuk mengurangkan gangguan kepada lalu lintas dan alam sekitar.

“Lencongan lalu lintas di Choa Chu Kang Avenue 3, Jurong East Central dan Jurong West Avenue 4 berjaya dilaksanakan untuk membenarkan pembinaan stesen-stesen serta struktur jejambat.”

Akhir sekali, beberapa bahagian jejambat JRL mempunyai "selekoh yang ketat", kata Encik Iswaran.

Encik Iswaran menjelaskan bagi memastikan kereta api JRL mempunyai ruang yang mencukupi untuk bergerak melalui selekoh itu, kereta api JRL akan mempunyai gerabak yang lebih kecil.

Sekalipun demikian, Encik Iswaran memberi jaminan bahawa JRL akan dapat memenuhi permintaan penumpang jangka panjang iaitu seramai 500,000 orang sehari, apabila pembangunan di sekeliling siap sepenuhnya dan beroperasi.
Sumber : CNA/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan