Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kerja binaan hubungkan RTS JB-SG ke laluan TEL bermula pada 2025

Anggaran Waktu Membaca:
Kerja binaan hubungkan RTS JB-SG ke laluan TEL bermula pada 2025

Struktur Besmen 1 di stesen Woodlands North. (Gambar: LTA)

Diterbitkan : 29 Nov 2024 01:52PM Dikemas Kini : 29 Nov 2024 01:53PM
SINGAPURA: Kerja binaan untuk menghubungkan Sistem Gerak Cepat Singapura-Johor (RTS) dengan Laluan MRT Thomson-East Coast (TEL) akan dimulakan pada 2025.

Ia akan dilakukan di besmen satu, Stesen Woodlands North sekarang di Laluan TEL.

Lebih 80 peratus prasarana awam RTS di bahagian Singapura sudah siap dibina, menurut pihak berkuasa dalam kemas kini pada Jumaat (29 Nov).

Jejambat darat dan laut juga hampir siap.

"Baki kerja yang masih perlu dilakukan termasuk berkaitan jalan raya, kerja seni bina, pemasangan sistem elektrik dan penyenggaraan, serta sistem utama lain seperti pintu pelepasan imigresen," menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), Perbadanan MRT Malaysia dan RTS Operations (RTSO) dalam kenyataan media bersamanya.

RTSO - yang akan mengendalikan khidmat Laluan RTS - adalah syarikat usaha sama yang dibentuk antara pengendali pengangkutan Prasarana Malaysia dan SMRT Singapura.
Jejambat laut. (Gambar: LTA)
Laluan RTS JB-Singapura yang meliputi jarak perjalanan sepanjang 4 kilometer dijangka mula beroperasi pada hujung 2026.

Ia bertujuan untuk mengurangkan kesesakan di Koswe - salah satu lintasan sempadan paling sibuk di dunia - dan mampu menampung sehingga 10,000 penumpang setiap jam bagi setiap hala dalam perjalanan yang memakan masa sekitar lima minit.

Syarikat prasarana yang dilantik kerajaan Malaysia dan pemerintah Singapura bertanggungjawab bagi mereka bentuk, membina dan menyenggara infrastruktur awam Laluan RTS.

Singapura dijadual bersedia untuk memberi akses kepada RTSO bagi prasarana awam dalam negara itu mulai hujung tahun ini.
Bahagian tiket bagi RTS di Singapura. (Gambar: LTA)
RTS di sebelah Singapura. (Gambar: LTA)
Bagi syarikat infrastruktur Malaysia pula, ia sudah memberikan akses yang lebih awal daripada yang dijadualkan kepada RTSO untuk kerja-kerja prasarana termasuk depoh penyenggaraan RTS, pada 30 September.

Ia akan secara bertahap-tahap memberi akses bagi baki prasarana laluan itu bermula hujung tahun ini.

Kerja-kerja prasarana awam Laluan RTS di Malaysia, yang meliputi depoh penyenggaraan, Stesen Bukit Chagar, serta jejambat darat dan laut, kini 93 peratus siap.

"Tumpuan pada permulaan tahun depan melibatkan kerja-kerja pemasangan bahagian luar bangunan bagi depoh, stesen dan Kompleks ICQ serta baki kerja-kerja awam, seni bina, pemasangan mekanik dan elektrik, serta kerja-kerja jalan raya," menurut kenyataan media bersama itu.

"RTSO bersedia untuk memulakan pemasangan bagi sistem rel Laluan RTS mulai hujung 2024. Ini termasuk memasang landasan bagi Laluan RTS, serta sistem isyarat, perhubungan, kawalan penyeliaan bersepadu dan sistem bekalan kuasa."
Depoh penyenggaraan RTS di Malaysia. (Gambar: Perbadanan MRT Malaysia)
Besemen 2 dewan imigresen Malaysia bagi RTS. (Gambar: LTA)
Pada Januari, perdana menteri ketika itu Encik Lee Hsien Loong dan rakan sejawatannya dari Malaysia Anwar Ibrahim menyaksikan tamatnya pembinaan laluan sepanjang 17.1 meter, yang menghubungkan jejambat marin antara kedua-dua negara.

Prasarana bagi projek Laluan RTS juga kini terhubung dari Depoh Wadi Hana di Johor hingga ke Woodlands North di Singapura.
Ciri aestetik jejambat. (Gambar: LTA, Perbadanan MRT)
Ciri aestetik jejambat. (Gambar: LTA, Perbadanan MRT)
Pihak berkuasa memperingati peristiwa penting itu dengan menamatkan pemasangan ciri aestetik - struktur yang terletak berhampiran laluan penghubung di jejambat marin itu.

Struktur berkenaan bertujuan untuk menggambarkan tangan yang saling bersalaman, "melambangkan kerjasama dan jalinan rapat antara kedua-dua negara", menurut pihak berkuasa.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan