Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kerja binaan bagi stesen MRT Jurong Lake District mula Q4 2024

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Kerja-kerja binaan bagi stesen MRT Jurong Lake District di Laluan Rentas Pulau (CRL) dijangka bermula pada suku keempat tahun ini.

Demikian menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Rabu (31 Jul).

Stesen MRT bawah tanah itu terletak dalam hab Daerah Tasik Jurong yang akan datang, yang akan menjadi hab perniagaan paling besar di luar kawasan tengah sebaik sahaja ia sudah dibangunkan.

Stesen Jurong Lake District merupakan salah satu daripada enam stesen baharu yang membentuk Fasa 2 CRL. yang akan memulakan khidmat penumpang pada 2032.

Pembinaan stesen berkenaan akan melibatkan kerja-kerja penggalian dalam berhampiran dengan Ekspreswe Ayer Rajah (AYE).

Sebelum kerja-kerja penggalian dan pembinaan itu dilaksanakan, struktur penahanan dan penstabilan bumi akan dibina untuk memastikan keselamatan dan kestabilan tanah.

"LTA dan kontraktor tersebut akan memantau secara teliti kerja-kerja tersebut dan menguatkuasakan langkah-langkah mitigasi yang diperlukan demi memastikan pembinaan yang selamat dengan kesan yang minimal terhadap pihak berkepentingan dan prasarana berdekatan," jelas penguasa itu.
Gambar: LTA
Gambar: LTA
Daerah Tasik Jurong akan dibangunkan dalam dua dekad seterusnya, dengan pejabat, perumahan dan prasarana dirancang bagi kawasan berkenaan. Menjelang 2040 hingga 2050, ia akan menyediakan 100,000 pekerjaan baharu dan 20,000 rumah.

KONTRAK DIBERIKAN

Kontrak bernilai S$590 juta (AS$440 juta) untuk mereka dan membina stesen Jurong Lake District itu - yang nama stesen tersebut masih belum dimuktamadkan - serta terowong diberikan kepada KTC Civil Engineering and Construction, menurut pengumuman LTA pada Rabu.

"KTC Civil Engineering and Construction merupakan syarikat tempatan yang sudah lama bertapak dengan pengalaman menyeluruh dalam projek-projek prasarana di Singapura," jelas LTA.

Ia sebelum ini membina stesen pertukaran Tampines di Laluan Downtown dan stesen Orchard Boulevard di Laluan Thomson-East Coast (TEL).

Syarikat itu kini sedang terlibat dalam pembinaan stesen Maju di CRL dan stesen Sungei Bedok di TEL.

CRL merupakan laluan MRT kelapan di Singapura, yang menghubungkan kawasan-kawasan termasuk Daerah Tasik Jurong, Daerah Digital Punggol dan daerah Changi, jelas LTA. Hampir separuh daripada stesen tersebut akan menjadi pertukaran bagi laluan kereta api yang lain.

CRL bawah tanah sepenuhnya itu akan dibina secara bertahap-tahap. Fasa 1 diumumkan pada 2019 dan merangkumi 12 stesen, dengan kerja-kerja binaan dijangka siap menjelang 2030.

Fasa 2, yang diumumkan pada September 2022, merangkumi enam stesen. Selain Daerah Tasik Jurong, stesen lain juga termasuk King Albert Park, Maju, Clementi, West Coast dan Turf City,

Kajian kejuruteraan bagi Fasa 3 masih dijalankan dan butiran lanjut akan diumumkan apabila kajian tersebut sudahpun selesai dikendalikan, menurut LTA.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan