Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kerja bina stesen pertukaran MRT Bright Hill di Laluan Rentas Pulau bermula suku kedua 2022

Anggaran Waktu Membaca:
01:29 Min
Kerja bina stesen pertukaran MRT Bright Hill di Laluan Rentas Pulau bermula suku kedua 2022
Diterbitkan : 30 Mar 2022 02:47PM Dikemas Kini : 30 Mar 2022 09:08PM

SINGAPURA: Kerja-kerja membina stesen pertukaran Bright Hill di Laluan Rentas Pulau (CRL) akan datang dijangka bermula pada suku kedua tahun ini, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Rabu (30 Mac), dengan perkhidmatan kereta api bermula pada 2030.

"Apabila siap nanti, penumpang boleh menukar antara CRL dan TEL (Laluan Thomson-East Coast) dengan mudah menggunakan stesen pertukaran ini," tambah LTA.

Kontrak sivil berjumlah sekitar S$526 juta bagi membuat reka bentuk dan pembinaan stesen, yang terletak di kawasan Sin Ming, serta terowong di bawah CRL1, diberikan kepada syarikat Penta Ocean Construction.

"Dengan pemberian kontrak ini, LTA sudah melantik kontrakor bagi kesemua 12 stesen CRL1," menurut agensi itu.

Sebaik sahaja stesen pertukaran baru itu beroperasi, masa perjalanan dari stesen Bright Hill ke Pasir Ris East dijangka mengambil masa kira-kira 30 minit melalui CRL, berbanding 80 minit sekarang ini, tambah LTA.

Perjalanan dari stesen Bright Hill ke Hougang, misalnya, dapat menjimatkan masa kira-kira 20 minit.

Stesen-stesen itu juga akan dihubungkan ke Koridor Keutamaan Transit (TPC) baru di Sin Ming Avenue.

"Apabila TPC siap sepenuhnya pada 2029, penduduk di kawasan Sin Ming akan mempunyai lebih banyak akses ke stesen MRT Bright Hill dan ruang riadah seperti Taman Bishan-Ang Mo Kio," tambah LTA.

Mengenai proses pembinaan itu, LTA menyatakan bahawa sebahagian besar tanah di kawasan itu terdiri daripada Granit Bukit Timah.

"Disebabkan keadaan tanah sedemikian, yang dijangka menyebabkan kerosakan pada mesin pengorek terowong, lantas pemantauan rapi akan dijalankan untuk memastikan prestasi peralatan yang optimum," tambahnya.

CRL merupakan laluan kelapan MRT di Singapura yang akan menyediakan khidmat pengangkutan bagi pembangunan sedia ada dan akan datang di koridor timur, timur laut dan barat, menghubungkan hab utama seperti Daerah Tasik Jurong, Daerah Digital Punggol dan kawasan Changi.

Hampir separuh daripada stesen di CRL akan berfungsi sebagai pusat pertukaran dengan laluan rel lain.

CRL1 sepanjang 29 kilometer, mempunyai 12 stesen MRT dari Aviation Park hingga ke Bright Hill. Ia akan menyediakan perkhidmatan kepada penumpang di kawasan perumahan dan perusahaan di Loyang, Tampines, Pasir Ris, Defu, Hougang, Serangoon North dan Ang Mo Kio dan memberi manfaat kepada lebih 100,000 isi rumah, menurut LTA.

Kajian mengenai butiran fasa CRL seterusnya sedang dijalankan, tambah LTA.

Sumber : CNA/KF/kf

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa