Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kerja bina stesen MRT Defu, Tampines North bermula pada suku kedua 2022

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pembinaan stesen MRT Defu dan Tampines North di sepanjang Laluan Rentas Pulau (CRL) dijangka bermula pada suku kedua tahun ini, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Selasa (22 Feb).

LTA menyatakan pihaknya memberi dua kontrak bernilai S$864 juta bagi reka bentuk dan pembinaan dua stesen MRT berkenaan.

Perkhidmatan penumpang bagi Fasa 1 CRL (CRL1) dijangka bermula pada 2030.

STESEN DEFU

Kontrak bagi reka bentuk dan pembinaan stesen serta terowong Defu diberikan kepada usaha sama Gamuda Berhad dan Wai Fong Construction bernilai S$467 juta, menurut LTA dalam satu kenyataan media.

Stesen Defu akan terletak di Tampines Road antara Defu Avenue 1 dan Defu Avenue 2.

Apabila stesen itu mula beroperasi, masa perjalanan dari stesen Defu ke Pasir Ris East dijangka hanya 15 minit berbanding 30 minit sekarang ini, kata LTA.

Selain itu, penumpang yang ingin pergi ke Ang Mo Kio Central dari stesen Defu dapat menjimatkan masa perjalanan selama 25 minit.

Gamuda Berhad juga terlibat dalam pembinaan Depot Bas Gali Batu manakala Wai Fong Construction juga sedang melakukan kerja-kerja membina dua stesen di Laluan Daerah Jurong (JRL) serta terowong antara Victoria Street dan Kampong Java Road bagi Koridor Utara-Selatan (NSC), tambah LTA.

STESEN TAMPINES NORTH

Kontrak bagi reka bentuk dan pembinaan stesen dan terowong Tampines North bernilai S$397 juta diberikan kepada syarikat China Communications Construction, menurut LTA.

Stesen Tampines North akan terletak antara Tampines Link dan Tampines Ave 11.

Penumpang daripada stesen Tampines North yang ingin ke Ang Mo Kio dapat menjimatkan masa perjalanan selama
30 minit dari 50 minit sekarang ini kepada hanya 20 minit kelak.

Masa perjalanan dari stesen Tampines North ke kawasan perusahaan Loyang pula akan mengambil masa hanya 10 minit berbanding 40 minit sekarang.

KERJA BINAAN

Kerja-kerja penggalian di kawasan binaan "dijangka lebih mencabar disebabkan lapisan tanah tebal dan halus serta batu-bata lembut,"menurut LTA.

"Langkah-langkah keselamatan akan diambil semasa memantapkan struktur dan membangunkan tembok penahan serta kerja-kerja penggalian bagi memastikan tanah dan struktur sekeliling stabil.

"LTA dan kontraktor akan memantau dengan teliti kerja-kerja pembinaan bagi memastikan ia dapat dijalankan dengan selamat dan mengurangkan kesulitan," menurut LTA.

FASA 1 CRL

CRL merupakan laluan MRT kelapan di Singapura dan menyediakan perkhidmatan kepada penumpang di kawasan sedia ada serta pembangunan akan datang di bahagian timur, timur laut dan barat Singapura. Laluan itu juga akan menghubungkan hab utama seperti Daerah Tasik Jurong, Daerah Digital Punggol dan Changi.

Hampir separuh daripada stesen di CRL berfungsi sebagai pusat pertukaran dengan laluan kereta api lain.

CRL1 sepanjang 29 kilometer itu akan mempunyai 12 stesen dari Aviation Park ke Bright Hill dan memanfaatkan lebih 100,000 isi rumah, menurut LTA.

Kajian mengenai butiran fasa CRL seterusnya sedang dijalankan, tambah LTA.

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan