Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kerja bina stesen MRT Clementi dan King Albert Park bermula suku pertama 2024

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 02 Oct 2023 03:59PM Dikemas Kini : 02 Oct 2023 08:59PM
SINGAPURA: Pembinaan stesen pertukaran MRT Clementi dan King Albert Park di sepanjang Laluan Rentas Pulau (CRL) dijangka bermula pada suku pertama 2024, dengan perkhidmatan penumpang bagi fasa kedua dijadual bermula pada 2032, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin (2 Okt).

Stesen pertukaran King Albert Park di CRL terletak di Blackmore Drive dekat Bukit Timah Road, sementara stesen pertukaran Clementi pula terletak bersebelahan simpang antara Commonwealth Avenue West dan Commonwealth Avenue 4.

Kerja-kerja binaan juga akan dijalankan di stesen King Albert Park di Laluan Downtown dan stesen Clementi di Laluan Timur-Barat bagi membolehkan khidmat pertukaran dan penyambungan perjalanan ke stesen-stesen baharu itu, menurut LTA.

Syarikat China Communications Construction diberi kontrak sekitar S$447 juta bagi reka bentuk dan pembinaan stesen CRL King Albert Park itu.

Sebuah lagi usaha sama antara cabang tempatan syarikat China Communications Construction dan Perbadanan Sinohydro diberi kontrak S$514 juta bagi reka bentuk dan pembinaan stesen CRL Clementi.

"China Communications Construction mempunyai rekod prestasi yang luas dalam menjalankan perkhidmatan pembinaan reka bentuk-dan-pembinaan di dalam dan luar negara," menurut LTA.

"Sinohydro Corporation juga terlibat dalam pelbagai projek prasarana tempatan dan luar negara."

Menurut LTA, beberapa lencongan lalu lintas akan diperlukan untuk menyusun semula utiliti di bawah jalan raya bagi memudahkan kerja pembinaan dijalankan secara berperingkat bagi mengurangkan kesan kepada penduduk, pelajar dan pemandu.

Memandangkan keadaan tanah di kedua-dua lokasi itu "mencabar", struktur penahanan dan penstabilan tanah akan dibina sebelum penggalian dan pembinaan struktur-struktur stesen itu.

Ia akan membantu memastikan keselamatan dan kestabilan tanah pihak berkepentingan yang berdekatan sepanjang proses binaan, menurut LTA.

"LTA dan kontraktor akan memantau dengan teliti bagi memastikan kerja-kerja itu dapat dijalankan dengan selamat, dan mengurangkan segala kesulitan pada struktur sedia ada."

CRL merupakan laluan MRT kelapan Singapura dan laluan bawah tanah sepenuhnya yang terpanjang di Singapura, dengan berukuran lebih 50 kilometer secara keseluruhan apabila siap sepenuhnya nanti.

Fasa pertama CRL - yang sepanjang 29 kilometer - merangkumi 12 stesen iaitu Bright Hill, Teck Ghee, Ang Mo Kio, Tavistock, Serangoon North, Hougang, Defu, Tampines North, Pasir Ris, Pasir Ris East, Loyang dan Aviation Park.

Fasa pertama CRL akan dihubungkan dengan Laluan Timur-Barat (EWL) di stesen Pasir Ris, Laluan Timur Laut (NEL) di stesen Hougang, Laluan Utara-Selatan (NSL) di stesen Ang Mo Kio dan Laluan Thomson-East Coast (TEL) di stesen Bright Hill.

Fasa Kedua CRL, yang diumumkan pada September 2022, pula sepanjang kira-kira 15 kilometer dan akan terdiri daripada enam stesen - Turf City, King Albert Park, Maju, Clementi, West Coast dan Daerah Tasik Jurong.

Kajian kejuruteraan bagi Fasa Ketiga CRL sedang dijalankan dan butiran lanjut akan diumumkan selepas kajian selesai, tambah LTA.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan