Skip to main content

Singapura

Kerja bina stesen MRT Brickland di Laluan Utara-Selatan bermula pada 2024

Anggaran Waktu Membaca:
Kerja bina stesen MRT Brickland di  Laluan Utara-Selatan bermula pada 2024

(Gambar: Land Transport Authority)

SINGAPURA: Kerja-kerja reka bentuk dan membina stesen MRT Brickland yang baharu di Laluan Utara-Selatan dijangka bermula pada 2024, kata Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Jumaat (28 Jul).

Stesen itu akan terletak di antara stesen Choa Chu Kang dan Bukit Gombak, dan disasarkan siap pada 2034.

Stesen Brickland itu akan menjadi stesen MRT ketiga yang akan dibina di atas laluan sedia ada - selepas stesen Canberra, juga di Laluan Utara-Selatan, dan stesen Dover di sepanjang Laluan Timur-Barat, kata LTA dalam satu kenyataan media.

Pembinaannya pertama kali diumumkan sebagai sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan Darat 2040. Brickland juga merupakan salah satu daripada dua stesen baharu yang akan ditambah ke Laluan Utara-Selatan. Stesen Sungei Kadut, pula akan menjadi stesen pertukaran baharu antara stesen Yew Tee dan Kranji, kata LTA pada 2019.

"Stesen Brickland akan membantu penumpang di kawasan itu menjimatkan sehingga 15 minit masa perjalanan menuju ke pusat bandar dan hab komersil di Daerah Tasik Jurong," kata LTA pada Jumaat.

Sebagai contoh, penduduk di Pavilion Estate yang ingin ke Raffles Place boleh menjimatkan sehingga 10 minit menggunakan stesen Brickland baharu, dengan perjalanan mengambil masa 40 minit berbanding 50 minit sekarang.

Mereka yang tinggal di Bukit Batok West Avenue 5 menuju ke Daerah Tasik Jurong pula akan mengambil masa 10 minit dengan stesen baharu itu, berbanding masa perjalanan semasa 25 minit.

(Gambar: Land Transport Authority)

Stesen Brickland akan menyediakan sambungan MRT yang lebih baik untuk penduduk di kawasan Keat Hong, Bukit Batok West dan Pavilion Park serta daerah Brickland di bandar Tengah, yang akan berada dalam jarak 10 minit jika berjalan kaki.

Ia juga akan menyediakan akses langsung bagi sekolah sedia ada seperti ITE College West, Sekolah Menengah Swiss Cottage dan Sekolah Rendah St Anthony's.

Selain stesen Brickland, jejambat baharu dan landasan silang akan dibina, untuk mengekalkan sambungan bagi landasan Laluan Utara-Selatan sedia ada sementara kerja-kerja pengubahsuaian sedang dijalankan, kata LTA.

"Ini akan mengurangkan gangguan kepada operasi antara stesen Choa Chu Kang dan Bukit Gombak."

Sumber : CNA/SU/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita