Kerja bina Fasa 1 laluan CRL sudah bermula; 12 stesen dijangka siap jelang 2030
Pembinaan Fasa 1 Laluan Rentas Pulau (CRL), iaitu laluan MRT kelapan di Singapura, bermula pada Rabu (18 Jan).
(Gambar: LTA)
SINGAPURA: Pembinaan Fasa 1 Laluan Rentas Pulau (CRL), iaitu laluan MRT kelapan di Singapura, bermula pada Rabu (18 Jan).
Hampir separuh daripada stesen MRT CRL merupakan stesen pertukaran apabila ia mula beroperasi sepenuhnya kelak.
Pusat-pusat pertukaran bagi Fasa 1 dan 2 adalah di Pasir Ris dan Clementi bagi Laluan Timur-Barat, Hougang bagi Laluan Timur Laut (NEL), Ang Mo Kio bagi Laluan Utara-Selatan (NSL), Bright Hill bagi Laluan Thomson-East Coast (TEL) dan King Albert Park bagi Laluan Downtown.
Butiran bagi stesen-stesen dalam Fasa 3 CRL akan diumumkan pada satu tarikh kelak.
Dijangka selesai dibina menjelang 2030, Fasa 1 CRL akan meliputi 12 stesen iaitu Aviation Park, Loyang, Pasir Ris East, Pasir Ris, Tampines North, Defu, Hougang, Serangoon North, Tavistock, Ang Mo Kio, Teck Ghee dan Bright Hill.
"Ini bermakna akan ada ketersambungan yang lebih meningkat yang memberikan para penumpang lebih banyak pilihan laluan perjalanan dan menyalurkan pergerakan penumpang dari pusat-pusat pertukaran yang sibuk di sepanjang Laluan Circle," kata Menteri Pengangkutan S Iswaran di majlis pecah tanah.
CRL sepanjang lebih 50 kilometer akan menjadi laluan MRT bawah tanah paling panjang di Singapura, mengukuhkan keterhubungan antara bahagian-bahagian timur, barat dengan timur laut Singapura.
Ia juga akan meningkatkan akses kepada kawasan-kawasan seperti Daerah Tasik Jurong, Daerah Digital Punggol dan kawasan Changi.
Kerja-kerja binaan dimulakan seminggu selepas bermulanya kerja-kerja binaan bagi Laluan Daerah Jurong (JRL), sekali gus meletakkan Singapura dalam jadual untuk memperluaskan rangkaian kereta apinya sepanjang 100 kilometer dalam tempoh sedekad akan datang.
PERJALANAN LEBIH SINGKAT, KETERSAMBUNGAN LEBIH MENINGKAT
Apabila CRL mula beroperasi sepenuhnya, ramai penduduk Singapura akan meraih manfaat daripada perjalanan yang lebih singkat dan pantas, dengan lapan daripada 10 penduduk hanya perlu berjalan 10 minit untuk ke stesen kereta api yang berhampiran, kata Encik Iswaran.
Misalnya, seorang penduduk Sin Ming yang tinggal di Bright Hill hanya perlu mengambil masa kira-kira 30 minit untuk melakukan perjalanan ke Pasir Ris East - iaitu kurang separuh daripada masa perjalanan sekarang selama sekitar 80 minit.
Stesen CRL Bright Hill juga akan dihubungkan dengan sebuah Koridor Keutamaan Transit (TPC) di Sin Ming Avenue bagi membolehkan pertukaran pelbagai mod pengangkutan ke rangkaian bas dan mobiliti aktif, tambah Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dalam satu kenyataan media.
Lebih 600,000 penumpang dijangka menggunakan laluan CRL setiap hari apabila ia mula berkhidmat pada 2030, dengan jumlah penumpang harian mencecah lebih sejuta orang dalam jangka masa lebih panjang.
Oleh demikian, walaupun CRL pada awalnya akan beroperasi menggunakan kereta api enam gerabak, peruntukan sudahpun dibuat untuk menampung kereta api lapan gerabak bagi memenuhi permintaan yang lebih tinggi pada masa hadapan.
Jumlah itu lebih banyak berbanding jumlah gerabak yang digunakan oleh mana-mana stesen MRT yang lain, kata Encik Iswaran.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.