Skip to main content

Singapura

Kereta terbakar dalam terowong MCE; aliran trafik terhenti

Anggaran Waktu Membaca:
Kereta terbakar dalam terowong MCE; aliran trafik terhenti

Sebuah kereta terbakar di terowong MCE menghala ke AYE pada 18 Sep 2025. (Imej: TikTok/taufikul.islam8, Pembaca CNA)

Diterbitkan : 18 Sep 2025 10:36PM Dikemas Kini : 18 Sep 2025 10:37PM

SINGAPURA: Aliran trafik terhenti di Ekspreswe Pantai Marina (MCE) menghala ke Ekspreswe Ayer Rajah (AYE) pada Khamis (18 Sep) selepas sebuah kereta terbakar dalam terowong MCE.

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan pihaknya menerima panggilan meminta bantuan kira-kira pukul 6.40 petang.

Kebakaran itu melibatkan sebuah kenderaan bukan elektrik dan dipadamkan melalui sistem pancuran besar (deluge) MCE serta penggunaan jet buih udara mampat oleh anggota SCDF.

SCDF menyatakan tiada kecederaan dilaporkan dan punca kebakaran masih disiasat.

Aliran trafik "terhenti sepenuhnya" sekitar pukul 6.55 petang, kata Encik Isaiah Tay, seorang penumpang kereta yang berada dalam terowong itu kepada Mediacorp.

Beliau berkata sekurang-kurangnya enam kereta bomba dan tiga kereta polis berada di tempat kejadian.

Encik Tay menambah pemandu Grab beliau menerima maklumat dari pihak Grab bahawa sebuah kereta terbakar dalam terowong itu.

Gambar-gambar yang dihantarkan oleh Encik Tay kepada Mediacorp selepas aliran trafik kembali pulih menunjukkan sebuah kereta dalam keadaan rentung di satu bahagian lebuh raya itu, dengan kebakaran sudah dipadamkan.

Ketika kejadian itu masih berlaku, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) membuat pengumuman menerusi radio bagi menasihatkan para pemandu dalam terowong supaya meninggalkan kenderaan masing-masing dan keluar daripada terowong itu menerusi pintu kecemasan berhampiran, menurut Encik Tay.

Beliau berkata bahawa beliau terperangkap dalam kesesakan lalu lintas di terowong itu selama kira-kira 35 minit.

Seorang lagi penumpang kenderaan di tempat kejadian itu memberitahu Mediacorp bahawa apabila beliau tiba di MCE kira-kira pukul 6.45 petang, aliran trafik sudah terhenti dan beliau juga terkandas selama kira-kira 35 minit.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita