Skip to main content

Singapura

Kereta tanpa pemandu ComfortDelGro langgar pembahagi jalan semasa ujian di Punggol; tiada sesiapa cedera

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 18 Jan 2026 06:06PM Dikemas Kini : 27 Jan 2026 07:10PM
SINGAPURA: Sebuah kenderaan pandu sendiri yang dikendalikan oleh ComfortDelGro (CDG) tergesel pembahagi jalan semasa menjalani ujian di Punggol pada Sabtu (17 Januari).

Menjawab pertanyaan Mediacorp pada Ahad, pengendali pengangkutan itu menyatakan kenderaan itu sedang menjalani proses pemetaan dan penyesuaian rutin pada sekitar pukul 3.10 petang pada Sabtu di Edgedale Plains apabila ia "mengesan objek kecil di jalan raya dan bertindak balas sewajarnya".

"Pengendali keselamatan di dalam kenderaan segera mengambil alih stereng kenderaan secara manual. Malangnya, kenderaan itu tergesel pembahagi jalan semasa pengambilalihan manual,” kata CDG.

Ia menambah bahawa tiada penumpang berada dalam kenderaan, dan tiada sesiapa yang cedera dalam kejadian itu.

Syarikat itu juga menyatakan bahawa semua ujian melibatkan kenderaan pandu sendirinya akan digantung buat sementara waktu, sedang ia mengkaji kejadian itu dengan kerjasama pihak berkuasa yang berkaitan.

Insiden itu berlaku selepas CDG menyatakan bulan lalu bahawa ia menjangka akan memulakan percubaan melibatkan lima pengangkutan ulang-alik kenderaan autonomi (AV) lima tempat duduk pada awal 2026.

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) mengumumkan pada September tahun lalu bahawa perkhidmatan pengangkutan ulang-alik autonomi pertama di Punggol akan dibuka kepada orang ramai menjelang suku kedua 2026.

CDG, dengan kerjasama syarikat AV China, Pony.ai, akan mengendalikan salah satu daripada tiga laluan, manakala dua laluan lain akan dikendalikan oleh Grab menggunakan AV yang dibangunkan oleh WeRide, sebuah lagi firma AV China.

Laluan CDG akan menghubungkan penduduk yang tinggal di Punggol Northshore ke Oasis Terraces dan Punggol Plaza. Mereka yang tinggal di Waterway Sunrise juga akan dapat melakukan perjalanan terus ke One Punggol dan Punggol Coast Mall.

Syarikat itu menyasarkan untuk menyediakan perkhidmatan ulang-alik AV pada tahun 2026 melalui aplikasi CDG Zig, di bawah pilihan “Zig Driverless”.
Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita