Kereta milik warga S'pura dilapor hilang di Genting Highlands ditemukan di Putrajaya

Honda Civic dengan warna asal sebelum hilang di Genting Highlands (gambar kiri) telah dicat dengan warna lain (gambar kanan) ketika ditemukan di Putrajaya pada Selasa. - Gambar: PDRM
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar memberitahu, kereta milik lelaki berusia 28 tahun itu ditemui di kawasan tempat letak kenderaan sebuah kondominium di Putrajaya oleh pengawal keselamatan premis tersebut pada pukul 7.48 malam, lapor Sinar Harian.
Menurut beliau, siasatan pihak polis mendapati kenderaan tersebut didaftar masuk ke kawasan kondominium berkenaan kira-kira pukul 6.00 pagi, Sabtu lalu (16 Jul).
"Pihak polis sudah menghubungi mangsa dan memaklumkan penemuan semula kereta miliknya.
"Sebelum ini, lelaki tersebut yang bekerja sebagai eksekutif operasi di Singapura bercuti di Genting Highlands sudah meletakkan kenderaan miliknya pada Jumaat lalu (15 Jul) kira-kira pukul 12.40 tengah hari di tempat letak kenderaan sebuah pusat beli-belah di pusat peranginan terbabit," kata beliau seperti dilaporkan Sinar Harian.
"Mangsa menyedari keretanya hilang pada Sabtu (16 Jul) lalu pada pukul 6.00 petang dan membuat laporan polis pada hari yang sama," tambah beliau dalam kenyataan pada Rabu (20 Jul).
Supt Zaiham berkata ketika kereta itu ditemukan, warna asal kenderaan berkenaan juga sudah ditukar kepada warna lain.
"Usaha menjejaki suspek yang dipercayai terlibat sedang giat dijalankan oleh pihak polis berdasarkan rakaman beberapa kamera litar tertutup yang diperolehi," kata beliau.
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.