Skip to main content

Singapura

Kereta lumba Ferrari dipamer di MBS menjelang Grand Prix Singapura

Anggaran Waktu Membaca:
Kereta lumba Ferrari dipamer di MBS menjelang Grand Prix Singapura

Kereta lumba Scuderia Ferrari HP akan dipamerkan di lobi hotel Marina Bay Sands dari 14 September hingga 12 Oktober. (Gambar: Marina Bay Sands)

Diterbitkan : 14 Aug 2026 11:00PM
  • MBS dan Scuderia Ferrari HP menganjurkan pelbagai acara sempena Grand Prix Singapura, termasuk pameran kereta Ferrari SF21 dan butik Ferrari Lifestyle pertama di Asia.
  • Acara berlangsung dari pertengahan September hingga akhir Oktober di MBS dan sekitar Marina Bay, Singapura.
  • Program Home of Champions menawarkan sesi perkongsian, kedai pop-up, serta pengalaman menjamu selera eksklusif, dengan pencahayaan merah Ferrari pada bangunan utama MBS.
  • Pakej hospitaliti mewah bernilai S$100,000 turut ditawarkan, termasuk penginapan, akses ke acara, tiket Paddock, dan peluang bertemu pelumba Ferrari terkenal.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Menjelang Grand Prix Singapura tahun ini, para peminat Formula 1 (F1) berpeluang melihat dari dekat sebuah kereta lumba Ferrari serta menyaksikan Marina Bay Sands (MBS) dihiasi cahaya merah ikonik Ferrari.

Pelbagai kegiatan akan diadakan mulai September sempena musim perlumbaan malam Singapura.

Sebuah kereta contoh Ferrari SF21 akan dipamerkan di lobi hotel Menara 1 MBS dari 14 September hingga 12 Oktober.

Pameran itu diadakan menjelang Grand Prix Singapura, yang akan berlangsung dari 9 hingga 11 Oktober di Litar Jalan Raya Marina Bay.

Sebuah butik Ferrari Lifestyle juga akan dibuka di The Shoppes at Marina Bay Sands dari 25 September hingga 25 Oktober.

Ia merupakan kali pertama butik Ferrari Lifestyle dibawa ke Asia dan akan menawarkan pengalaman berkaitan jenama Ferrari di luar dunia F1.

Dari 28 September hingga 11 Oktober pula, MBS akan menganjurkan program Home of Champions yang menampilkan pelbagai acara bertemakan F1.

Ia termasuk sesi perkongsian mengenai sukan permotoran, kedai pop-up barangan mewah serta pengalaman menjamu selera eksklusif.

Sebagai sebahagian program itu, tiga menara hotel MBS dan Muzium ArtScience akan disinari cahaya merah Ferrari dari 7.00 malam hingga 11.59 malam setiap hari.

Pencahayaan tersebut dapat dilihat dari sekitar Marina Bay.

Kegiatan itu merupakan sebahagian kerjasama lanjutan antara MBS dengan Scuderia Ferrari HP yang bermula pada 2023.

Menerusi kerjasama yang diperbaharui itu, MBS turut menawarkan pakej hospitaliti lima malam bernilai S$100,000 untuk sehingga dua orang semasa musim F1.

Pakej tersebut termasuk penginapan di Paiza Grand Suite, akses ke acara dan parti tertentu serta tiket Paddock selama tiga hari.

Ia turut menawarkan akses keutamaan ke parti selepas acara di Marquee Singapore, pengalaman menjamu selera di MBS serta peluang bertemu para pelumba Ferrari Lewis Hamilton dan Charles Leclerc.
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita