Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kereta 'diecast' jadi tarikan utama IAM SG tahun ini, tarik 12,000 peminat kereta

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seramai 12,000 peminat kereta membanjiri Singapore EXPO bagi acara International Automodified (IAM) Singapore pada hujung minggu 28 dan 29 September.

Edisi keempat pameran kereta itu mengumpulkan pelbagai jenis kereta dari rantau ini.

Antara tarikan pameran tahun ini ialah pameran kereta mainan 'diecast' yang kian mendapat perhatian ramai.

Antara yang menanti-nantikannya ialah peminat tegar kereta mainan itu, Encik Khairudin Lee.

Minatnya terhadap kereta mainan itu sudah berputik sejak kecil lagi.

Menurut Encik Khairudin, antara faktor yang membuatkannya tertarik untuk menjadi ia sebagai sebuah hobi ialah reka bentuknya yang unik dan boleh diubah suai serta menyerupai model kereta sebenar.

"Dari kecil, ibu bapa belikan mainan. Jadi dari kecil kita sudah berminat kepada kereta mainan jenama 'Hot Wheels' ini. Apabila sudah dewasa dan sudah bekerja, dan ada duit sedikit, kita mampu membeli kereta-kereta 'Hot Wheels' yang kita ingin dari kecil," kata Encik Khairudin.



Daripada sekadar satu hobi, ia kini berkembang menjadi sumber pendapatannya.

Beliau kini mengasaskan bersama jenama kedai kereta mainan 'diecast' Boom Charlie Studio bersama sekumpulan peminat yang lain.



Setelah 20 tahun mendalaminya, beliau teruja menjadi antara individu terpilih untuk berkongsi ilmu dengan penggemar 'diecast' lain di acara International Automodified Singapore (IAM SG) tahun ini.

"Apabila mereka datang hendak beli barang, kita boleh berbual dengan mereka, kita boleh berikan nasihat, kita boleh kongsikan tentang sejarah kereta itu, kita boleh kongsi ilmu kepada para pengumpul baharu atau pendatang baharu atau yang sekadar datang sini untuk tengok-tengok, kita boleh kongsi dengan mereka lebih terperinci jadi mereka boleh lebih memahami hobi inilah," ujarnya.

RIBUAN KERETA 'DIECAST', LEBIH 100 KERETA SERANTAU DIPAMERKAN

Populariti kereta mainan 'diecast' sejak kebelakangan ini menjadikannya antara tarikan istimewa IAM SG yang diadakan di dewan 6A Singapore EXPO tahun ini.

Selain ribuan kereta 'diecast', terdapat juga lebih 100 buah kereta dari rantau ini yang dipamerkan sekitar 200 syarikat yang mengambil bahagian.

Sejak 2019, pameran tersebut menghimpunkan ribuan penggiat industri automotif dan menampilkan pelbagai jenis model kereta yang telah diubah suai.



"Pengunjung bukan hanya melihat kereta sebenar tapi ada kereta mainan juga. Jadi mereka saling bergandingan untuk menghiburkan pengunjung di pameran kereta ini. Setiap tahun kita selalu berusaha untuk berkolaborasi dengan banyak elemen gaya hidup automotif seperti 'diecast', kelab-kelab kereta, seperti juga ada 'simulator' dan lain-lain," kata Pengasas, International Auto Modified, Encik Reza Aliwarga.

Sejauh ini, lebih 370 pameran kereta sudahpun dianjurkan di Indonesia, Malaysia, Thailand dan Amerika Syarikat.

Selepas Singapura, pameran tersebut akan menjelajah ke Bangkok dan Jakarta menjelang akhir tahun ini.

Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan