Kereta bomba dibenarkan abaikan lampu merah, buat pusingan-U tidak sah mulai 1 Jun
Kereta bomba, Red Rhino dan kenderaan perubatan kebakaran yang dikerahkan untuk memberi respons kepada kecemasan akan dibenarkan di bawah undang-undang untuk melanggar lampu isyarat merah dan membuat pusingan-U di mana-mana persimpanpan jalan raya tidak ditetapkan mulai Sabtu (1 Jun).
SINGAPURA: Kereta bomba, Red Rhino dan kenderaan perubatan kebakaran yang dikerahkan untuk memberi respons kepada kecemasan akan dibenarkan di bawah undang-undang untuk melanggar lampu isyarat merah dan membuat pusingan-U di mana-mana persimpanpan jalan raya tidak ditetapkan mulai Sabtu (1 Jun).
Dalam kenyataan media hari ini (31 Mei), Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan langkah tersebut adalah lanjutan kepada langkahnya pada Disember 2017 untuk memberi pengecualian yang sama kepada ambulans yang bertindak balas terhadap kes kecemasan.
SCDF menyatakan: "Dalam kes kecemasan perubatan, setiap minit yang dijimatkan boleh memberi hasil kesihatan lebih baik untuk pesakit.
Para pegawai yang mengendalikan kenderaan kecemasan di bawah perintah pengecualian itu, terikat dengan prosedur operasi SCDF.
"Misalnya, seorang pemandu kenderaan kecemasan SCDF yang mahu terus memandu meskipun lampu isyarat merah atau membuat pusingan-U di persimpangan yang tidak ditetapkan perlu membunyikan semboyan dan menghidupkan lampu kelip untuk memberi amaran kepada para pengguna jalan raya lain.
"Apabila menghampiri persimpangan trafik, pemandu mesti memperlahankan kenderaan dan berhenti sepenuhnya supaya penilaian tentang keadaan lalu lintas boleh dilakukan sebelum meneruskan semula perjalanan," menurut SCDF dalam kenyataan medianya.
SCDF menyatakan para pengguna jalan raya lain mesti memberi laluan kepada kenderaan kecemasan.
Apabila mendengar bunyi semboyan atau melihat lampu kelip pada kenderaan kecemasan SCDF yang menghampiri mereka, para pemandu harus melakukan seperti berikut:
- Kekal tenang dan periksa arah kenderaan kecemasan yang sedang menghampiri.
- Beri laluan dengan memberi isyarat awal dan bergerak ke lorong kiri jika selamat untuk melakukannya.
- Jika tidak dapat memasuki lorong kiri dengan selamat, perlahankan kenderaan dan beri laluan kepada kenderaan kecemasan untuk memotong anda dari kiri.
- Jangan menghadang, memecut atau mengekori kenderaan kecemasan kerana ini akan membahayakan diri anda serta para pengguna jalan raya lain.
- Di persimpangan lampu isyarat atau persimpangan jalan raya, perlahankan kenderaan dan beri laluan sekalipun jika lampu isyarat menyebelahi anda. Ini sekiranya ia selamat untuk berbuat demikian.
- Jangan melanggar peraturan lalu lintas (seperti melanggar lampu isyarat merah) untuk memberi laluan kepada kenderaan kecemasan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.