Kerani parlimen SG diberi bayaran kekal berkhidmat susuli peningkatan peletakan jawatan
Parlimen pada Selasa (4 Ogos) meluluskan usul untuk memperkenalkan bayaran kekal berkhidmat kepada para kerani parlimen, menyusuli peningkatan kadar peletakan jawatan sedang beban kerja Dewan menjadi semakin kompleks sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Bangunan Parlimen Singapura. (Gambar fail: CNA/Jeremy Long)
Usul yang dibentangkan Ketua Dewan, Indranee Rajah, turut mengemas kini skim gaji para pegawai parlimen agar ia selaras dengan perubahan dalam perkhidmatan awam, seperti yang diamalkan sejak 2008.
Pelarasan terhadap skim gaji perkhidmatan awam, yang dikenali sebagai Skim Eksekutif Pengurusan (MXS), diumumkan pada Februari menyusuli semakan berkala.
Di bawah pelarasan MXS, para pegawai yang layak menerima kenaikan gaji antara dua hingga sembilan peratus mulai 1 Ogos, manakala tiada pelarasan diberikan kepada mereka yang sudah menerima gaji yang kompetitif.
Usul pada Selasa itu dibuat berdasarkan syor dalam laporan Suruhanjaya Kakitangan Parlimen bertarikh 27 Julai, yang dipengerusikan Speaker Parlimen Seah Kian Peng.
Semasa membentangkan usul tersebut, Cik Indranee berkata kakitangan parlimen terdiri daripada Kerani Parlimen dan para pegawai yang membantu beliau, termasuk kerani parlimen serta pegawai khidmat bahasa yang menterjemahkan prosiding.
Selain menyelaraskan gaji para pegawai parlimen mengikut MXS, suruhanjaya itu turut mencadangkan agar komponen bayaran pengekalan diperkenalkan bagi kerani parlimen.
Menurutnya, komponen tersebut bertujuan menarik calon yang berkualiti serta mengekalkan para pegawai yang berkeupayaan.
Dalam laporannya, suruhanjaya itu menyifatkan para kerani parlimen sebagai "sekumpulan kecil pakar dalam amalan parlimen dan tatacara perundangan".
Menurut suruhanjaya tersebut, kadar peletakan jawatan dalam kalangan kerani tersebut meningkat, sedang jumlah dan kerumitan urusan parlimen terus bertambah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Setiap peletakan jawatan memberikan kesan yang besar terhadap keberkesanan operasi Sekretariat Parlimen dan melibatkan kos penggantian yang tinggi memandangkan latihan yang diperlukan adalah menyeluruh, menurut suruhanjaya berkenaan.
Pada masa yang sama, pengambilan pekerja baharu menjadi semakin sukar, khususnya dalam mendapatkan karyawan undang-undang yang berkelayakan dan sesuai untuk berkhidmat dalam peranan Sekretariat Parlimen, tambahnya.
Kerani parlimen akan mula menerima komponen bayaran kekal berkhidmat itu mulai 1 September.
Bayaran tersebut ditetapkan mengikut gred para pegawai dan secara keseluruhannya bersamaan kira-kira 1.5 hingga 1.75 bulan gaji setahun, atau sekitar lapan hingga 10 peratus daripada pakej gaji tahunan.
Para kerani parlimen peringkat permulaan akan menerima bayaran tersebut setiap tahun.
Para kerani parlimen yang layak dan diiktiraf atas kecekapan mereka pula akan menerima bayaran tersebut setiap tiga tahun.
Bayaran kekal berkhidmat itu dihadkan sehingga tempoh perkhidmatan 20 tahun, dan akan diberikan sebagai bayaran ihsan sekali sahaja kepada para pegawai sedia ada sebagai sebahagian daripada aturan peralihan.
Selepas ucapan Cik Indranee, Timbalan Speaker semasa dan mantan Timbalan Speaker bangkit menyuarakan sokongan terhadap usul tersebut.
Mantan Timbalan Speaker Jessica Tan (PAP-East Coast) berkata rang undang-undang utama kini lazimnya melibatkan "penelitian terperinci bagi setiap fasal" serta pindaan yang semakin rumit.
Beliau berkata setiap sidang parlimen kini secara tetap menerima lebih 100 soalan parlimen, dan kerani parlimen perlu menguruskan tempoh masa yang lebih singkat dan pelbagai isu perundangan yang lebih luas berbanding sebelum ini.
Timbalan Speaker Christopher De Souza pula berkata kerani parlimen memberi nasihat berhubung tatacara parlimen serta meneliti dokumen parlimen bagi memastikan ia mematuhi Perlembagaan, Peraturan Tetap Parlimen dan amalan yang ditetapkan.
Mereka juga menyokong prosiding jawatankuasa parlimen dan menyelenggara rekod rasmi parlimen, tambah beliau.
"Oleh kerana apa yang kita bahaskan di sini mungkin menjadi undang-undang, dan dasar negara diperhalusi di Dewan ini, saya fikir kita harus meluangkan sedikit masa untuk menghargai para kerani parlimen, Sekretariat Parlimen, kakitangan dan para penterjemah atas segala usaha mereka," kata beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.