Skip to main content

Singapura

Keracunan makanan di ByteDance: Syarikat katering Yunhaiyao didenda S$7,000 bagi insiden libatkan 171 mangsa

Anggaran Waktu Membaca:
Keracunan makanan di ByteDance: Syarikat katering Yunhaiyao didenda S$7,000 bagi insiden libatkan 171 mangsa

CEO Yunhaiyao Lu Zhi Tao (kiri) mengaku bersalah bagi pihak syarikat kateringnya atas tuduhan berkaitan insiden keracunan makanan melibatkan ramai kakitangan di ByteDance. (Gambar: CNA/Wallace Woon, pembaca CNA)

Diterbitkan : 17 Jul 2025 06:02PM Dikemas Kini : 17 Jul 2025 06:04PM
  • Syarikat katering Yunhaiyao didenda S$7,000 pada Khamis (17 Jul) atas insiden keracunan makanan melibatkan ramai kakitangan di Bytedance tahun lalu.
  • Pendakwa Agensi Makanan Singapura (SFA) Mohd Rizal memaklumkan mahkamah bahawa terdapat sejumlah 171 mangsa yang mengalami gejala gastroenteritis.
  • Para kakitangan ByteDance memakan ayam dadu goreng yang disediakan oleh Yunhaiyao yang mengandungi bakteria staphylococcus aureus melebihi had yang dibenarkan.
  • Lebih 200,000 unit pembentukan koloni bagi setiap gram staphylococcus aureus ditemui dalam sampel yang diperolehi oleh SFA.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Syarikat katering Yunhaiyao didenda S$7,000 pada Khamis (17 Jul) atas insiden keracunan makanan melibatkan ramai kakitangan di Bytedance tahun lalu.

Lu Zhi Tao, Ketua Pegawai Eksekutif Yunhaiyao, hadir di mahkamah untuk menerima hukuman bagi pihak syarikat tersebut, yang mengendalikan rangkaian restoran Yun Nans.

Pendakwa Agensi Makanan Singapura (SFA) Mohd Rizal memaklumkan mahkamah bahawa terdapat sejumlah 171 mangsa yang mengalami gejala gastroenteritis.

Seramai 60 mangsa dihantar ke hospital. 22 daripada mereka masuk wad untuk menerima rawatan selama satu hingga tiga hari. Baki 38 orang tidak dimasukkan ke wad tetapi menerima rawatan atau merawat diri sendiri.

Hakim Daerah Janet Wang berkata jumlah mangsa terbabit adalah "mengejutkan", dan mujur tiada kematian.

Para kakitangan ByteDance memakan ayam dadu goreng yang disediakan oleh Yunhaiyao yang mengandungi bakteria staphylococcus aureus melebihi had yang dibenarkan.

Staphylococcus aureus, atau staph, adalah bakteria yang boleh menyebabkan keracunan makanan. Ia menghasilkan toksin dalam makanan yang tidak dimasak atau disimpan dengan betul, atau melalui orang yang membawa bakteria tersebut, yang mengendalikan makanan tanpa mencuci tangan terlebih dahulu.

Lebih 200,000 unit pembentukan koloni bagi setiap gram staphylococcus aureus ditemui dalam sampel yang diperolehi oleh SFA. Peraturan makanan menetapkan bahawa jumlah unit pembentukan koloni dalam makanan harus kurang daripada 100.

Apabila SFA menyiasat cawangan Yun Nans di Northpoint City, mereka menemui lebih daripada 10 lipas hidup.

Yunhaiyao sebelum ini mengaku bersalah atas satu tuduhan di bawah Peraturan Kesihatan Awam Alam Sekitar (Kebersihan Makanan) berikutan penemuan lipas tersebut, dan satu lagi tuduhan di bawah Akta Penjualan Makanan.

Ia terkait penjualan hidangan ayam kepada ByteDance apabila ia "tidak memenuhi mutu yang dikehendaki oleh ByteDance", kerana ia mengandungi kiraan staphylococcus aureus, atau staph, yang melebihi had yang dibenarkan.

Pendakwa SFA Mohd Rizal memohon denda sebanyak S$5,500 terhadap Yunhaiyao. Ini adalah kesalahan pertama syarikat tersebut.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita