Keputusan terbuka dalam kes bayi ditemui tidak bernafas atas tilam
Seorang koroner mengisytiharkan satu keputusan terbuka dalam kes kematian seorang bayi berusia dua bulan yang didapati baring tertiarap dan tidak bernafas di atas tilamnya. Koroner juga menekankan amalan tidur yang selamat kepada para ibu bapa dan pengasuh.
SINGAPURA: Seorang koroner mengisytiharkan satu keputusan terbuka dalam kes kematian seorang bayi berusia dua bulan yang didapati baring tertiarap dan tidak bernafas di atas tilamnya. Koroner juga menekankan amalan tidur yang selamat kepada para ibu bapa dan pengasuh.
Bayi lelaki itu berusia dua bulan dan tiga minggu apabila dia didapati tidak bergerak oleh pembantu rumah keluarga tersebut di sebuah flat di Sengkang. Dia kemudian disahkan mati di hospital pada 17 Mei tahun lalu.
Dalam dapatan yang dikeluarkan minggu ini, Koroner Negara Kamala Ponnampalam mengisytiharkan keputusan terbuka selepas satu siasatan menyeluruh termasuk pemeriksaan autopsi gagal menentukan punca kematian. Kesesakan nafas bagaimanapun tidak ditolak sebagai puncanya.
Koroner itu menarik perhatian tentang amalan tidur tidak selamat yang mungkin membawa kepada kematian tersebut. Sekitar pukul 7.00 malam pada 17 Mei 2019, pembantu rumah keluarga itu memberi bayi itu susu badan ibunya menggunakan botol.
Selepas bayi itu tidur, beliau meletakkan dia di atas tilam dalam kedudukan tiarap, dengan kepalanya dipusingkan ke sebelah kanan, sebelum meninggalkan bilik itu.
Pembantu rumah itu meluangkan sekitar sejam untuk membasuh pinggang mangkuk, membantu dua anak perempuan keluarga itu untuk mandi sebelum beliau sendiri mandi dan menguruskan pakaian dibasuh.
Selepas kira-kira sejam, pembantu rumah itu hairan mengapa bayi itu tidak menangis lalu masuk ke bilik untuk memeriksanya. Beliau mendapati muka bayi itu tersembam di atas tilam lalu mengangkatnya dan melihat dia tidak bernafas dan wajahnya pucat.
Pembantu rumah itu bergegas keluar dari bilik sambil mendukung bayi tersebut dan menghubungi ibunya, meminta wanita itu supaya segera pulang kerana bayinya tidak bernafas.
Bapa bayi itu tiba di rumah tidak lama kemudian dan mendapati pembantu rumah tersebut menangis dengan bayi di dalam dakapannya. Lelaki itu terlihat bahawa anaknya tidak bernafas dan susu menitik keluar dari hidungnya. Beliau segera membawa bayi itu ke hospital.
Bagaimanapun, bayi itu terus tidak memberikan sebarang tindak balas dan tidak mempunyai denyutan nadi meskipun diberikan bantuan kecemasan. Dia diisytiharkan meninggual dunia pada 9.51 malam.
Bedah siasat tidak menemui kejanggalan yang nyata dengan pakar patologi forensik mengatakan bahawa kedudukan tidur tertiarap tidak mungkin menyebabkan atau menyumbang kepada kematian, jika tiada bukti bayi tidur di atas katil sama dengan orang lain, ataupun bukti di tempat kejadian yang menunjukkan bahawa hidung mahupun mulut bayi tertutup.
Beliau menambah jika bayi itu tertiarap dengan mukanya menghadap bawah dan saluran pernafasannya terhalang, ia kemungkinan boleh menyebabkan kesesakan nafas serta kematian.
Walau bagaimanapun, halangan seperti itu biasanya membawa kepada penemuan bedah siasat seperti kecederaan atau kesan melecet di sekitar hidung dan mulut tetapi ini tidak kelihatan dalam kes tersebut, kata ahli patologi.
KEPRIHATINAN IBU BAPA BAYI
Ibu bapa bayi itu membangkitkan beberapa keprihatinan semasa siasatan koroner. Mereka bertanya mengapa pembantu rumah itu meletakkan anak mereka di atas tilam di bilik tidur kakaknya dan bukannya di katil bayi. Mereka juga mempersoalkan mengapa pembantu rumah itu memberi anaknya susu badan ibu dan bukannya susu formula pada waktu malam, seperti kebiasaannya.
Pembantu rumah itu memberi keterangan bahawa beliau meletakkan bayi lelaki itu di bilik tidur kakaknya kerana ia lebih dekat dengan dapur dan ruang tamu agar beliau boleh mendengarnya jika dia menangis.
Pasangan itu juga bertanya mengapa pembantu rumah tersebut memeriksa bayi mereka hanya sekali selepas hampir satu jam, dan mempersoalkan sama ada beliau terganggu oleh telefon bimbitnya. Pembantu rumah itu memberi keterangan bahawa beliau tidak menggunakan telefon bimbitnya semasa tempoh sejam sebelum mendapati bayi itu tidak memberi tindak balas.
Pasangan tersebut berpandangan bahawa pembantu rumah itu bersikap sambil lewa ketika menjaga bayi mereka dan berkata bahawa kelalaian itu menyebabkan atau menyumbang kepada kematian anak mereka.
Pembantu rumah itu memberi keterangan semasa siasatan bahawa beliau tidak terganggu ketika kejadian itu berlaku mahupun dibelenggu dengan masalah kewangan.
AMALAN TIDUR YANG SELAMAT
Koroner itu mengingatkan ibu bapa dan penjaga akan kepentingan tidur yang selamat sambil menarik perhatian bahawa kes ini menimbulkan "amalan tidur tidak selamat yang mungkin menyebabkan kematian bayi itu".
"Seorang bayi yang diletakkan untuk tidur tertiarap mungkin terperangkap dalam keadaan tersembam ke bawah," katanya. "Pakar pediatrik dan mereka yang terlibat dalam penjagaan bayi secara tetap menekankan pentingnya bayi tidur terlentang."
Beliau juga menekankan singkatan 'ABC' untuk amalan tidur yang selamat: Sendiri (Alone), Belakang (Back) dan Katil Bayi (Crib). Bayi tidak seharusnya tidur sekatil dengan orang lain tetapi tidak semestinya diletakkan di dalam bilik berbeza. Bayi seharusnya diletakkan dalam keadaan tidur pada bahagian belakangnya dan dalam katil yang dibina dengan baik yang bebas daripada cadar longgar, bantal serta mainan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.