Skip to main content

Singapura

Keputusan tangguh aturan perjalanan udara S'pura-HK diputuskan secara bersama, kata Chan Chun Sing

Di bawah syarat-syarat aturan perjalanan khas itu, perjanjian berkenaan akan digantung jika purata kes COVID-19 sepanjang tempoh tujuh hari melebihi lima kes setiap hari di Singapura mahupun Hong Kong.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 23 Nov 2020 12:12PM Dikemas Kini : 24 Nov 2020 12:19AM

SINGAPURA: Keputusan untuk menangguhkan aturan perjalanan udara antara Singapura dan Hong Kong selama dua minggu diputuskan secara bersama, kata Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing pada Isnin (23 Nov).

Beliau menambah bahawa kedua-dua pihak sebelum ini saling menyetujui "garis panduan yang jelas" berhubung pelancaran dan penangguhan aturan khas tersebut dan ia diputuskan dengan "pantas" setelah jumlah jangkitan COVID-19 meningkat di Hong Kong.

Encik Chan berkata demikian sebagai respons kepada soalan yang diajukan dalam sidang media hari ini selepas Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) mengumumkan data terkini pertumbuhan ekonomi Singapura.

"Semasa kami meneliti keadaan itu, kedua-dua pihak memutuskan dengan pantas bahawa keadaan sudah berubah dan apabila keadaan berubah, kami akan membuat keputusan yang sewajarnya," kata beliau.

"Semua keputusan diputuskan berdasarkan rangka kerja yang dibincangkan sebelum aturan khas ini diumumkan."

Pelancaran aturan khas ini - perjanjian perjalanan riadah bebas kuarantin yang pertama bagi Singapura - dijadual dilancarkan semalam.

Pihak berkuasa Singapura sebelum ini menyatakan pada pagi Sabtu lalu bahawa aturan perjalanan itu akan diteruskan seperti yang dirancangkan walaupun para pelawat dari Hong Kong perlu menjalani ujian COVID-19 sebaik saja mereka tiba di Singapura, satu syarat baru yang diumumkan ketika itu.

Bagaimanapun, penangguhan selama dua minggu itu disahkan pada lewat petang Sabtu lalu.

Apabila ditanya mengapa keputusan tersebut diubah dalam masa beberapa jam saja, Encik Chan menegaskan bahawa pihak berkuasa kedua-dua bandar saling mengongsi jumlah kes jangkitan setiap hari.

"Jadi apabila jumlah itu melepasi had yang ditetapkan, kami membuat keputusan itu secara bersama," tambahnya.

"Jadi dari segi itu, semuanya diputuskan berdasarkan rangka kerja tersebut."

Di bawah syarat-syarat aturan perjalanan khas itu, perjanjian berkenaan akan digantung jika purata kes COVID-19 sepanjang tempoh tujuh hari melebihi lima kes setiap hari di Singapura mahupun Hong Kong. 

Sumber : CNA/RU/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita