Skip to main content

Singapura

Keputusan SG iktiraf negara Palestin 'bukan soal jika, tetapi bila' dilaksanakan: Dr Faishal

Pengiktirafan negara Palestin bukan soal jika, tetapi bila ia akan dilaksanakan, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Dr Faishal Ibrahim di parlimen pada Isnin (22 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 22 Sep 2025 03:45PM Dikemas Kini : 22 Sep 2025 09:22PM
SINGAPURA: Pengiktirafan negara Palestin bukan soal jika, tetapi bila ia akan dilaksanakan, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Dr Faishal Ibrahim di parlimen pada Isnin (22 Sep).

Semasa menyampaikan kenyataan menteri mengenai situasi di Timur Tengah, Dr Faishal berkata beliau memahami bahawa soalan sama ada Singapura harus bertindak untuk mengiktiraf negara Palestin berada dalam benak fikiran rakyat Singapura.

Dalam bahagian ucapannya dalam Bahasa Melayu, Dr Faishal mahu memberi jaminan bahawa pengiktirafan negara Palestin sememangnya "apa yang kita harapkan dan sedang berusaha ke arah itu", menurut terjemahan dalam Bahasa Inggeris.

"Itu sentiasa menjadi pendirian Singapura untuk memastikan keamanan yang berkekalan bagi rakyat Israel dan Palestin.

"Ia bukan soal jika, tetapi bila," katanya dalam Bahasa Melayu.

"Kita mungkin tidak mengiktiraf Palestin sekarang, tetapi saya ingin menjelaskan kepada rakyat Singapura bahawa kami bukan sekadar - dan tidak akan - hanya berpeluk tubuh terhadap tragedi yang sedang berlaku di Gaza."

Merujuk kepada ucapan oleh Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan sebelum ini, Dr Faishal mengulangi pendirian Singapura bahawa warga Palestin mempunyai hak ke atas tanah air mereka sendiri dan untuk menentukan nasib sendiri.

"Ia menjadi pendirian konsisten kami selama beberapa dekad. Kami juga, selama bertahun-tahun, menegaskan bahawa hanya huraian dua negara yang dirundingkan boleh memberikan huraian yang komprehensif, adil dan berkekalan kepada konflik Israel-Palestin."

Beliau berkata rakyat Singapura "terkejut dan sedih" oleh perkembangan terkini.

Dr Faishal berkata parlimen Singapura pertama kali membincangkan perkara itu pada 6 November 2023, apabila ia mengecam serangan pengganas oleh Hamas dan tindakannya pada 7 Oktober 2023.

Serangan kumpulan Hamas terhadap Israel mencetuskan perang di Gaza yang berlaku sekarang ini, yang sudah pun berlarutan selama hampir dua tahun.

Situasi itu berkembang dengan tindakan Israel yang "keterlaluan dan tidak boleh diterima", kata Dr Faishal, sambil menarik perhatian kepada serangan bom "mengerikan" ke atas Gaza dan kebuluran yang berlaku secara meluas.

"Warga Palestin, termasuk wanita dan kanak-kanak, terpaksa mempertaruhkan nyawa di zon perang yang aktif hanya untuk mendapatkan makanan.

"Lebih 1,000 orang terbunuh dalam pengagihan makanan yang dijalankan secara ganas dan huru-hara," katanya.

Beliau menyifatkan pemindahan secara paksa penduduk Palestin sebagai 'tercela dari segi moral' dan 'kesalahan terhadap kemanusiaan'.

Beliau berkata 1.9 juta penduduk Palestin terpaksa meninggalkan rumah masing-masing sejak perang bermula di Gaza, dan lebih 750,000 lagi berbuat demikian sejak gencatan senjata pada Mac lalu.

"Namun pemerintah Israel memilih untuk memburukkan lagi tragedi itu dengan meneruskan dengan projek pembinaan penempatan di Tebing Barat. Ia adalah haram di bawah undang-undang antarabangsa.

"Berdasarkan mana-mana kayu ukur, tindakan oleh Israel adalah tidak wajar dan ia mungkin melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa. Ia sudah tentu menentang prinsip moral. Israel berhak mempertahankan dirinya sendiri, tetapi seperti dikatakan oleh PM (Lawrence Wong) pada Mei lalu, ia sudah keterlaluan."

Dr Faishal berkata dasar asing Singapura perlu mengambil kira kerumitan antarabangsa dan kepentingan negaranya sendiri.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Anggota Parlimen (AP) Melayu-Islam dan pemimpin masyarakat kerana menghimpunkan rakyat Singapura "dari semua kaum dan agama untuk menyumbang dengan murah hati kepada usaha kemanusiaan dan pembinaan keupayaan kami", dan pertubuhan bukan pemerintah di negara ini.

Beliau menegaskan lagi bahawa Singapura tidak hanya akan "berpeluk tubuh" terhadap tragedi di Gaza, sambil menambah Singapura juga akan meningkatkan bantuan kemanusiaan bagi mengurangkan penderitaan penduduk Palestin.

Dr Faishal berkata Singapura akan terus menghulurkan sokongan praktikal kepada usaha pembangunan keupayaan Penguasa Palestin, sebagai persiapan untuk Negara Palestin.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita